Apa Justifikasi Pembinaan Jambatan Bengkok? Kerajaan PH Digesa Buat Kajian Menyeluruh


KUALA LUMPUR, 30 Okt – Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong melahirkan rasa terkilan terhadap jawapan yang diberikan oleh Menteri Kerja Raya berhubung justifikasi pembinaan Jambatan Bengkok yang ditangguhkan beberapa tahun sebelum ini.

Serentak itu beliau menggesa agar kerajaan melihat secara mendalam dan membuat kajian sepenuhnya berhubung perkara berkenaan bagi memastikan permasalahan pokok  dapat diselesaikan.

“Saya rasa persoalan pokok ialah bagaimana kita nak memastikan aliran trafik yang lebih lancar dan bagaimana kita menghubungkan dua-dua negara ini dengan jaringan jalan raya atau tambak atau apa sekalipun  yang dirasakan sempurna dan licin trafiknya, itu yang sepatutnya menjadi pertikaian dan bukannya faktor-faktor lain diambil kira.

“Yang saya tahu di Johor apa yang berlaku ialah setiap hari berjam-jam orang beratur motosikal, kereta untuk pergi ke Singapura untuk berualng alik bekerja.

“Kalaulah kita bina Jambatan Bengkok itu sekadar memuatkan lebih banyak kenderaan tetapi masalah tidak akan selesai.  Sebab itulah JKR mengatakan mereka belum membuat kajian dan sewajarnya dibuat satu kajian secara menyeluruh dan saya setuju.

“Jadi saya minta kerajaan melihat ini secara praktikal sama da jambatan bengkok betul-betul menyelesaikan masalah. Itu yang saya nak tekankan tadi. Jadi tolonglah buat kajian secara saintifik dan kita tidak mahu sebarang pembaziran. Jangan kita buat separuh jalan nanti tukar perdana menteri nanti tukar balik… Soal kesesakan apakah ia akan selesai dengan adanya jambatan bengkok,” katanya di Lobi Parlimen, di sini, hari ini.

Terdahulu sebelum itu, di dalam soalan tambahannya kepada Kementerian Kerja Raya pada waktu pertanyaan-pertanyaan menteri (MQT), mempersoalkan rasional cadangan pembinaan jambatan bengkok sekiranya ia tidak dapat menyelesaikan masalah kesesakan di Tambak Johor.

“Apakah justifikasi, kalau ianya tidak dapat menyelesaikan masalah kesesakan di Tambak Johor, apa guna kita bina jambatan bengkok seperti yang diwar-warkan baru-baru ini?

“Apakah pandangan Jabatan Kerja Raya (JKR) tentang perkara ini? Adakah ia praktikal atau pembaziran,” tambahnya.

Menteri Kerja Raya, Baru Bian di dalam jawapannya kepada soalan tersebut memaklumkan bahawa projek jambatan bengkok ini masih di peringkat cadangan dan sebarang keputusan hanya akan diputuskan setelah satu kajian mengenainya dibuat.

Menjawab soalan asal Ka Siong, Baru memberitahu kerajaan telah membayar pampasan keseluruhan dengan nilai sebanyak RM257.4 juta pada pihak terlibat susulan pembatalan projek jambatan bengkok pada tahun 2006 oleh Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

“Mengenai isu cadangan pembinaan jambatan bengkok, ini adalah merupakan perkara dasar yang akan melibatkan kos yang tinggi serta implikasi sosio-ekonomi, politik dan hubungan antarabangsa luar negara.

“Sehubungan itu, Kementerian Kerja Raya akan merujuk kepada Jemaah Menteri bagi mendapatkan pandangan dan nasihat mengenai hala tuju berkaitan dengan pelaksanaan projek tersebut,” ujarnya.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.