Kerajaan Sekarang Adalah ‘Kerajaan Pembangkang’ – Jalaluddin
KUALA LUMPUR, 27 Okt – Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Jalaluddin Alias melabelkan kerajaan baru pimpinan Pakatan Harapan (PH) sebagai ‘kerajaan pembangkang’ dan pembangkang yang dibarisi oleh Barisan Nasional (BN) dan Pas pula sebagai ‘pembangkang kerajaan’.
Ini kerana jelas beliau, kerajaan PH masih lagi tidak mampu untuk menyesuaikan diri sebagai kerajaan walaupun sudah enam bulan mengambil alih tampuk pimpinan negara.
“Rakyat sudah memberi mandat kepada PH maka suka atau tidak mereka mesti menjalankan tugas sebagai kerajaan seperti yang dikehendaki oleh rakyat. Rakyat menunggu hala tuju negara sekarang, apa yang mereka nak bawa… apa bentuk pembelaan kepada rakyat, kalau pun tidak sama tetapi mesti lebih baik daripada kerajaan terdahulu iaitu BN.
“Tapi sayangnya, sepanjang sesi Dewan Rakyat baik semasa sesi pertama sehingga kedua, kebanyakan ahli Parlimen kerajaan hari ini seolah-olah belum lagi boleh menyesuaikan diri dan bereaksi sebagai kerajaan. Masih merasa mereka seperti pembangkang termasuklah menteri, sebab itu dewan kosong.
“Ahli Parlimen bertindak seolah-olah mereka pembangkang. Berkali-kali diingatkan bahawa kerajan mesti mempunyai pendekatan yang total berbeza dari sesi yang dulu kerana mereka sudah jadi kerajaan,” ujar beliau ketika menjadi tetamu jemputan dalam program Diskusi Dari Parlimen yang mengupas tajuk ‘Kajian Separuh Penggal RMK-11: Terbongkarnya Pembohongan!’.
Tambah Jalaluddin, di Dewan Rakyat, ahli parlimen pembangkang pula dilihat berbahas seolah-oleh mereka kerajaan dengan memberikan cadangan bagi penambahbaikan pentadbiran termasuk kebaikan rakyat manakala ahli Parlimen kerajaan terus-terusan berbahas menuding kesalahan kepada pentabiran lama.
“Rakyat tidak mahu dengar ‘blaming game’ atau menyalahkan kerajaan terdahulu, salahkan UMNO dan BN kononnya korup dan macam-macam lagi. Dewan Rakyat bukan mahkamah, Parlimen bukan tempat untuk menentukan salah orang… itu biar mahkamah yang tentukan,” tegas beliau.
Beliau turut mengulas hal berkaitan pembentangan RMK-11 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad baru-baru ini iaitu dokumen tersebut adalah satu dokumen yang tidak boleh diubahsuai sekaligus membuktikan BN telah menjalankan tanggungjawab yang baik selama ini.
“Dokumen ini tidak boleh mengatakan kerajaan dulu gagal atau tidak menepati kehendak rakyat kerana kajian RMK-11 jelas menunjukkan pembentangan BN sudah menjalankan pembangunan membela rakyat dengan baik… ia sudah terbukti dan didokumenkan.
“Tuduhan dan persepsi buruk yang dikemukakan oleh PH ketika BN memerintah dulu lebih-lebih lagi ketika kempen konon kerajaan nak bankrap… rugi… banyak hutang… semua tidak benar kerana sudah termaktub dalam dokumen (RMK-11) peratusan ekonomi bergerak dengan baik. Hutang semakin menurun dan ini membuktikan negara kita mempunyai satu pergerakan ekonomi yang baik.
“Kerajaan hari ini seperti tidak ada tolak ansur langsung dengan mengatakan kerajaan yang mereka warisi berhutang hampir RM1 trilion sedangkan dalam dokumen RMK-11 hanya mencatatkan RM686.8 bilion. Jadi, tolong jelaskan perbezaan hampir RM400 bilion ini… mana angka ini diperolehi,” bidas beliau lagi. – MediaUMNO