Rakyat Dan Negara Adalah Amanah Untuk Pemimpin – Sultan Nazrin


KUALA LUMPUR, 20 Okt – Sultan Perak Sultan Nazrin Shah hari ini bertitah mengingatkan pemimpin negara bahawa negara ini dan rakyat adalah amanah yang dipertanggungjawabkan kepada mereka, justeru harus dijaga dengan pemerintahan yang benar dan adil.

Titah baginda mereka perlu melaksanakan tanggungjawab itu dengan jujur dan berintegriti seiring dengan janji yang diberikan kerajaan yang dibentuk pasca Pilihan Raya Umum ke-14 apabila surat-surat rasmi kerajaan yang sebelum ini ditandatangani bawah klausa ‘Saya Yang Menurut Perintah’ ditukar kepada ‘Saya yang menjalankan Amanah’.

“Para ulama berpendirian bahawa agama tidak akan tertegak, begitu juga dunia tidak akan menjadi baik tanpa keberadaan pemimpin yang bersikap amanah.  Kebaikan sesuatu bangsa dipengaruhi oleh sifat pemimpinnya, kerana itu tokoh sosiologi Islam Ibn Khaldun meletakkan ukuran kebaikan sesuatu bangsa ditentukan oleh kualiti dan nilai kepimpinan bangsa tersebut,” titah baginda.

Sultan Nazrin yang juga Canselor Universiti Malaya (UM) bertitah demikian pada Istiadat Konvokesyen ke-58, universiti itu, di sini.

Titah baginda amanah merupakan kunci penentu yang boleh membangunkan sesuatu bangsa, negara, tamadun dan keagungan sementara ketiadaan sifat amanah terbukti telah atau berpotensi menghancurkan sesuatu bangsa, negara, tamadun dan keagungan.

Titah Sultan Nazrin, amanah berdepan dugaan besar apabila pemimpin terkena penyakit tamak kuasa dan mendapatkan kuasa itu dijadikan matlamat yang diusahakan dengan menghalalkan cara.

“… dan penyakit gila kuasa menjadi bertambah kronik apabila pemimpin dikelilingi oleh barisan penasihat yang jahil,” titah baginda.

Baginda juga bertitah dunia hari ini menghadapi ketandusan orang yang memiliki sifat amanah sekalipun mempunyai ramai orang berpengetahuan.

“Insan berpengetahuan yang diperlengkap dengan sifat amanah akan mempamerkan watak insan berilmu,” titahnya.

Sementara itu, Sultan Nazrin menzahirkan ucapan ucapan tahniah dan penghargaan kepada warga UM atas kejayaan melonjakkan kedudukan universiti dari tangga ke-114 tahun lepas ke rangking 87 terbaik di dunia menurut QS World University Rangkings 2018.

Konvokesyen kali ini menyaksikan 5,279 graduan menerima ijazah masing-masing dengan 540 menerima ijazah doktor falsafah, ijazah sarjana (1,768), ijazah sarjana muda (2,928) dan 43 graduan menerima Diploma Pasca Siswazah Pendidikan.

Konvokesyen kali ini turut mengurniakan Ijazah Kehormat Doktor Perubatan kepada Datuk Dr. Mahmood Osman Merican dan Ijazah Kehormat Doktor Harta Tanah kepada Tan Sri Sr. Abdul Rahim  Abdul Rahman  serta gelaran Profesor Emeritus kepada Prof. Datuk Dr. Goh Khean Lee, Prof. Datuk Dr. Norma Mansor dan Prof. Ir. Dr. Masjuki Hassan.