“Hadapi Dendam Politik, Pertuduhan Politik, Hukuman Politik, Mangsa Politik” – Ahmad Maslan
KUALA LUMPUR, 19 Okt – Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan yang sentiasa kreatif dengan nukilan-nukilan dan bidalan-bidalannya hari ini tampil dengan kicauan terbaharu di ‘twitter’nya tadi.
Ahmad yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO mengungkap sebuah nukilan, jika diselusuri ditujukan khusus kepada senario politik semasa tanah air terutama pasca pilihan raya umum (PRU) ke-14.
Dalam twitnya itu, beliau mengatakan UMNO kini, terutama pemimpin-pemimpin utamanya dihimpit dan ditekan dengan pelbagai dakwaan dari kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang memerintah sekarang, dengan menggunakan pelbagai helah dan alasan.
“Hadapi dendam politik, pertuduhan politik, pendakwaan politik, hukuman politik dan mangsa politik. Tapi perbuatan itu tidak adil, sangat zalim!
“Akhirnya nanti, kebenaran akan terserlah, rakyat akan bangkit dan rejim akan diubah!,” ujarnya.
Kicauan sebelumnya juga Ahmad meluahkan perasaan kecewa atas tindakan kerajaan yang jelas bersikap pilih kasih dalam kes-kes pendakwaan.
“Jika pemimpin mereka, seorang demi seorang dilepaskan. Jika pemimpin kami UMNO, seorang demi seorang diheret ke mahkamah.
“Apa tanda semua ini? Ini pendakwaan politik yang berpilih dendam politik yang tidak berkesudahan,” tegasnya.
Untuk rekod, banyak kes ahli politik kerajaan PH telah ditarik dari pendakwaan termasuk kes Menteri Kewangan Lim Guan Eng, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Shapie Apdal, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar R. Sivarasa dan lain-lain.
Akhir nukilan Ahmad mengungkapkan kata-kata nasihat kepada sang penguasa, dengan tanda pagar (hashtag) bahawa suara rakyat merupakan suara keramat dan rakyat hakim negara (kuasa undi di PRU).
Petang tadi, dalam satu kenyataan media SPRM, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid telah ditahan pada jam 3.15 petang berhubung siasatan melibatkan dana sebuah yayasannya, Yayasan Akal Budi setelah SPRM mendapat izin mendakwa daripada Pejabat Peguam Negara.
Susulan itu, Ahmad Zahid akan menghadapi beberapa pertuduhan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 serta akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada esok, 19 Oktober 2018, jam 8.00 pagi untuk pertuduhan tersebut.
Begitu juga sebelumnya, bekas Presiden UMNO Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dan juga isteri Datin Seri Rosmah Mansor telah didakwa di mahkamah atas tuduhan akta yang sama serta ahli Parlimen Baling Datuk Azeez Rahim turut pernah ditahan oleh SPRM. – MediaUMNO