Cara Jahat Kezaliman 1998 Seperti Mahu Diulangi Pada Tahun 2018

KUALA LUMPUR, 18 Okt – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kini nampaknya masih berusaha keras supaya Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga dianggap jahat oleh masyarakat apabila cuba mengaitkan pemimpin Islam itu kononnya menggunakan wang 1MDB, kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib.

Ujarnya, sekian lama sejak 1998 Dr Mahathir berjaya memberi label jahat kepada ramai pemimpin termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini sebagai peliwat dan tidak layak menjadi pemimpin.

“Rentetan itu, ramai pemimpin Islam menerima akibat untuk dipenjara bawah Akta Dalam Negeri (ISA), manakala tokoh koporat dan usahawan menanggung banyak kerugian dan lingkup perniagaan.

“Dr Zahid yang sebelum ini dilihat bersih dan kuat berpegang dengan ajaran agama, menyatukan alim ulama, menyuburkan aktiviti agama dan membela anak-anak tahfiz, kini cuba dicalarkan imejnya.

“Penghinaan imej Dr Zahid itu semata-mata bertujuan memberikan gambaran buruk terhadap UMNO yang selama ini menjadi sandaran orang-orang Islam dan memelihara kesejahteraan serta nasib rakyat pelbagai kaum dan agama,” katanya yang juga Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim dalam satu kenyataan hari ini

Tegasnya, tindakan zalim Dr Mahathir ini tidak lain hasil dari kekecewaan beliau yang sebelum ini gagal memujuk Dr Zahid supaya membubarkan UMNO yang menjadi ancaman utama politik keluarga Dr Mahathir, kroni dan PBBM.

“Kita percaya tindakan Dr Mahathir tersebut adalah bertujuan melenyapkan UMNO dan mendorong orang orang Melayu berpaut kepada PPBM sebagai satu satunya Parti Melayu terkuat dalam negara ini.”

Sehubungan itu, beliau menyeru ahli-ahli UMNO, orang Melayu, umat Islam dan seluruh rakyat mempertahankan Dr Zahid yang kini dizalimi oleh kerajaan Malaysia Baru melalui pendakwaan bermotif politik yang kejam dan tidak masuk akal.

Dilaporkan Dr Zahid dipanggil ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya untuk diambil keterangan – buat kali keenam petang ini. – MediaUMNO

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.