Rakyat Jadi Mangsa Akibat Kebobrokan Dasar Ekonomi Kerajaan PH – Suraya


ALOR SETAR, 17 Okt – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Suraya Yaacob mendesak kerajaan Pakatan Harapan (PH) agar berhenti dari terus membuat pembohongan demi pembohongan.

Tegasnya, cukuplah sekali rakyat ditipu dengan janji-janji dalam manifesto yang tidak dapat ditunaikan dan jangan pula dtambah dengan momokan kepalsuan yang tiada kesudahan selama sepenggal ini.

“Kerajaan PH patut sedar bahawa mangsa sebenar bagi permainan ekonomi mereka adalah rakyat Malaysia. Kebobrokan itu hanya akan menjejaskan ekonomi negara yang mengakibatkan tekanan dan meningkatkan bebanan kos sara hidup khususnya kelompok B40, malah mungkin golongan peniaga dan M40.

“Berkhidmatlah sejujurnya demi agama, bangsa dan negara,” tegasnya dalam satu kenyataan di Facebook miliknya di sini, hari ini.


Gesa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tiang itu lagi, pihak kerajaan sewajarnya berhenti menipu rakyat, pelabur dan negara-negara dunia dengan naratif bermotif politik kononnya hutang negara mencecah RM1 trilion.

“Sebaliknya mereka patut lebih fokus menyelesaikan masalah kekurangan pendapatan negara akibat retorik ‘janji manifesto’ sendiri.

“Sekiranya dirujuk pada Bajet 2018 yang lalu, kos menyelenggara hutang negara hanyalah berjumlah RM30.88 bilion iaitu 11% daripada jumlah keseluruhan belanjawan itu.

“Malah dengan unjuran pendapatan negara berjumlah RM239.86 billion, Malaysia sebenarnya lebih daripada mampu untuk memenuhi tuntutan obligasi hutang negara,” katanya.

Tambah Suraya, hakikatnya jika diteliti dengan rapi masalah kewangan negara bermula sejak kerajaan membuat dasar populis mengumumkan kadar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) 0% pada Jun 2018 yang menyebabkan kerajaan kehilangan hasil, sebelum menghapuskannya diganti dengan cukai terkebelakang, Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pada September.

“Sejak itu, pelbagai masalah timbul seperti pemansuhan RELA (pusat Khidmat Komuniti), elaun anggota APM (Angkatan Pertahanan Awam) tertangguh, cadangan menghapuskan BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) serta elaun sara hidup nelayan, kekurangan dana TVET (Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional), peruntukan Kementerian Luar yang tidak mencukupi dan sebagainya.

“Lebih memalukan negara dan rakyat Malaysia, Menteri Luar Negeri Datuk Saifuddin Abdullah merungut tentang kementeriannya yang tidak diberi peruntukan secukupnya bagi menampung kos operasi kedutaan negara di luar negara sehingga ada yang disaman.

“Keadaan ini telah mencemar imej Malaysia sebagai sebuah negara yang lemah dan gagal mengawal ekonomi dengan berkesan,” tegasnya.

Suraya berkata demikian ketika merujuk pendedahan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng tentang kedudukan kewangan negara pada sidang Parlimen kelmarin yang secara tidak langsung telah menyebabkan rasa bimbang dan keresahan di kalangan rakyat di negara ini.

“Akan tertera di ‘hansard’ Parlimen kononnya ‘hutang negara berjumlah RM1 trilion’ sebagai naratif politik, namun kita semua tahu bahawa hakikat sebenar yang dihadapi oleh Kerajaan Persekutuan adalah masalah pendapatan negara yang merosot teruk akibat kutipan SST yang sangat rendah dan tidak mampu menampung kelompongan pemansuhan GST.

“Ekoran itu, kita tidak terlalu terkejut dengan kenyataan Guan Eng tentang negara yang dijangka bakal kehilangan sebanyak RM21 bilion bagi tempoh September hingga Disember 2018, unjuran terbaru Kementerian Kewangan. Malah dalam tempoh yang sama, hanya RM4 bilion saja yang mampu dikutip kerajaan daripada hasil SST dalam tempoh itu,” jelasnya lagi. – Media UMNO.

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.