PH, Jangan Jadikan Rakyat Mangsa Dek Kegagalan Sendiri
NIBONG TEBAL, 13 Okt – Pemuda UMNO secara sinis mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri (PM) Tun Mahathir Mohamad kerana beliau sendiri telah membuktikan manifesto kerajaannya hanyalah satu mimpi indah yang tidak mungkin tergapai.
Semalam, Tun Mahathir ketika sidang medianya di Bali telah menyatakan pembinaan lebuh raya tanpa tol tidak mungkin diwujudkan dan hanya boleh dilaksanakan sekiranya harga minyak dinaikkan, walaupun agenda menghapuskan tol termasuk dalam janji-janji manifesto Pakatan Harapan (PH).
Justeru menurut Ketua Pemuda UMNO Nibong Tebal Mohd Norhiesam Ismail, dengan pengakuan Tun Mahathir tersebut membuktikan manifesto PH hanyalah satu penipuan yang bertujuan mengelirukan rakyat hingga terpedaya mengangkat mereka sebagai kerajaan.
“Pemuda UMNO Nibong Tebal juga mendesak agar sekali lagi Pakatan Harapan memohon maaf kepada seluruh rakyat negara ini khususnya pengundi mereka kerana telah memberikan harapan palsu.
“Pakatan Harapan juga harus mengakui bahawa penipuan mereka ini adalah dengan niat jahat mahu memburukkan kredibiliti Barisan Nasional (BN) dan UMNO,” jelasnya dalam satu kenyataan media, di sini hari ini.
Norhiesam juga memetik kenyataan bekas PM Datuk Seri Najib Razak bahawa janji PH untuk memansuhkan tol serta cukai barangan dan perkhidmatan (GST) hanya akan membawa negara berhutang hampir RM1 trilion.
“Menurut Datuk Seri Najib Razak lagi kerajaan ketika itu sudah membuat pengiraan berdasarkan cadangan yang ditawarkan oleh Pakatan Harapan dan ternyata ia tidak boleh dilaksanakan, namun sayangnya rakyat ketika itu tidak mahu mempercayai penjelasan oleh Najib dan kini rakyat terpaksa menanggung akibatnya.
“Terimalah hakikat bahawa kerajaan terdahulu BN adalah lebih baik, realistik dan tidak pernah menjanjikan bulan bintang bagi memenuhi serakah untuk mendapat sokongan rakyat semata-mata,” ujarnya.
Norhiesam juga yakin lebih banyak lagi manifesto ‘janji manismu’ tidak akan dapat ditunaikan.
“Sedihnya rakyat akan terus menjadi mangsa akibat dendam politik kepada kerajaan terdahulu.
“Persoalannya sampai bila rakyat akan terus kena ‘kencing’?, tegasnya. – Media UMNO