Rampas Rumah Rakyat : Kerajaan PH Patut Bantu, Cari Solusi – Rizalman

BANDAR TUN RAZAK, 5 Okt – Bekas Ahli Lembaga Penasihat Bandaraya Kuala Lumpur, Datuk Rizalman Mokhtar menyarankan tindakan merampas unit kediaman perumahan rakyat oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlulah menjadi tindakan yang terakhir setelah segala faktor diambil kira.

Menurutnya, kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak sepatutnya menghukum tetapi membantu rakyat kerana ramai di antara penghuni kediaman tersebut yang sememangnya perlu dibantu.

“Kebimbangan saya ialah nasib penghuni yang benar-benar perlu dibantu kerana pelbagai masalah dan di mana mereka akan tinggal sekiranya kediaman mereka dirampas. Di sinilah sepatutnya tugas pimpinan PH dan kerajaan baharu perlu memainkan peranan bagi mencari solusi membantu mereka yang layak.

“Sebagai pimpinan UMNO, saya biasa menghulur bantuan sewa rumah untuk tiga bulan, enam bulan dan setahun kepada penghuni yang memang perlu dibantu,” ujar Ketua UMNO Bahagian Bandar Tun Razak itu dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Rizalman berkata demikian ketika mengulas sebagaimana yang difahaminya, keseluruhan ahli parlimen PH telah memberi lampu hijau kepada DBKL untuk melaksanakan penguatkuasaan rampasan ke atas unit rumah yang gagal dan culas membuat bayaran serta mempunyai tunggakan yang tinggi.

“Saya pernah terlibat secara langsung dan faham isu atas kapasiti saya sebagai Ahli Lembaga Penasihat Kuala Lumpur suatu ketika dahulu. Diakui isu ini sudah lama berlaku dan seolah tiada jalan penghujung kerana ianya melibatkan soal kemanusiaan dan kehidupan sebuah keluarga.

“Pendirian pimpinan PH dan kerajaan baharu untuk selesaikan isu ini secara serius adalah langkah yang terpuji dan berani. Cuma perlu dikaji dan diperiksa secara terperinci sebelum penguatkuasaan dilaksanakan supaya tidak ada yang menjadi mangsa,” tegasnya.

Jelasnya lagi, beliau turut menyokong tindakan diambil kepada mereka yang sengaja tidak membayar kerana mengambil kesempatan atas kebaikan kerajaan dahulu, kerajaan Barisan Nasional (BN).

Rizalman turut menceritakan pengalaman bagaimana beliau bersama pemimpin setempat menangani permasalahan tersebut.

“Saya juga bersama rakan-rakan pernah memanggil seramai hampir 1,200 orang ketua penghuni rumah untuk ditemuduga dan disiasat sebab kegagalan membayar sewa rumah yang hanya berjumlah RM124 sebulan.

“Sudah tentu pelbagai alasan yang diberi dan maklum balas yang diterima,” katanya.

Walaupun begitu, kepimpinan parti setempat menurutnya terus membantu terutama kepada mereka yang berkelayakan.

“Kami bantu dan bayar terus kepada DBKL untuk kurangkan jumlah tunggakan. Kami ajukan kepada pihak Baitumal agar yang berkelayakan supaya dibantu. Kami runding dengan Jabatan Pengurusan Perumahan DBKL supaya penjadualan semula pembayaran dapat dibuat mengikut kadar yang munasabah.

“Kami mohon tangguhkan sehingga enam bulan ke setahun kepada ketua penghuni untuk mencari jalan dan menyelesaikan tunggakan yang ada,” ujarnya.

Begitu juga, mereka akan disenaraikan dalam Program E-Kasih supaya dapat menerima bantuan kerajaan dan boleh keluar dari kepompong kemiskinan, katanya. – Media UMNO.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.