Jangan Terus Bernostalgia Dengan Kekalahan, PAU2018 Langkah UMNO Untuk Bangkit

KUALA LUMPUR, 4 Okt – Perhimpunan Agung UMNO 2018 sudah empat hari berlalu yang memperlihatkan perjalanan perhimpunan tersebut bukan sahaja lancar, meriah dan bersemangat namun penuh dengan saranan serta azimat untuk melihat UMNO bangkit semula.

Bermula dengan persidangan sayap-sayap, ucapan dasar presiden dan perbahasan, kesemuanya menjurus kepada keazaman bukan sahaja memperkukuhkan semula parti yang dianggotai orang Melayu dan Bumiputera terbesar di negara ini malah iltizam bagi meneruskan sebuah perjuangan UMNO yang terus relevan pada masa akan datang.

Semua pembahas yang membahaskan usul ternyata bukan sahaja mampu berhujah secara berterus-terang dan matang tetapi yang lebih penting kesemuanya melahirkan keyakinan UMNO tidak selamanya terus bernostalgia dengan kekalahan serta percaya apa sahaja fitnah-fitnah yang dilemparkan kepada parti lama-kelamaan akan dimamah kebenaran.

Antara pembahas yang menyentuh mengenai perkara sedemikian adalah jurucakap dari Kedah, Noran Zamini Jamaluddin.

Pembahas Usul Ucapan Dasar Presiden itu berkata, kejatuhan UMNO daripada tonggak pemerintahan negara akibat fitnah merupakan sesuatu yang telah pun diberitahu oleh Baginda Rasulullah SAW sebelum ini, di mana jelas zaman ini merupakan satu zaman fitnah yang berleluasa sehingga orang yang benar dikatakan berdusta, manakala orang yang berdusta dikatakan sebagai benar.

Kata Perwakilan dari Kedah itu, apa yang berlaku kepada UMNO ini merupakan satu bukti dan petanda kebenaran kata-kata Rasulullah SAW yang telah memperingatkan umatnya betapa dahsyatnya musibah fitnah yang berlaku di akhir zaman ini.

“Ada ahli-ahli UMNO yang meluahkan rasa hairannya pada saya, kenapa UMNO sudah buat macam-macam untuk rakyat, tapi akhirnya kita kalah juga. Saya katakan padanya, jangan kita hairan dengan kekalahan UMNO ini. Sebab hari ini, kita berada pada zaman yang Nabi SAW pernah sebutkan.

“Nabi Muhammad pernah berkata, akan datang kepada manusia satu zaman yang penuh dengan tipu daya. Orang yang benar dikatakan berdusta dan orang yang berdusta dikatakan benar. Zaman ini telah pun berlaku. Kita sedang hidup di zaman yang Rasulullah SAW sebutkan itu.

“Sebab itu cabaran kita pada hari ini cukup berat. Lim Guan Eng pernah datang berceramah di Kedah dan berkata, jika Pakatan Harapan menang memerintah Putrajaya, tol Lebuhraya Utara Selatan daripada Bukit Kayu Hitam sampai Johor kita akan hapuskan. Bukankah terbukti dia berbohong hari ini?

“Rafizi Ramli pernah berceramah  di Alor Setar dan saya buat pemantauan. Ketika itu Rafizi berceramah di atas trak. Dia kata, sekiranya Pakatan Harapan berjaya membentuk kerajaan, hari ini kita perintah, esok minyak RON95 akan turun harga. Hari ini terbukti beliau hanya berbohong.

“Tetapi ada sebahagian kita terima dan percaya dengan kata-kata mereka itu. Inilah yang dikatakan Nabi SAW, zaman yang apabila orang dusta berbicara, mereka akan dianggap benar oleh rakyat,” tegasnya.

Sebab itu katanya, ahli-ahli UMNO sudah tidak ada masa untuk bernostalgia atau meratapi kekalahan UMNO tetapi harus bangkit semula demi untuk mempertahankan syiar Islam, bangsa dan juga tanah air yang menjadi matlamat parti sejak ia mula ditubuhkan.

“Apakah Allah tidak sayangkan kita, apabila Allah perturunkan kita dari takhta kekuasaan? Tidak. Apa yang berlaku adalah disebabkan kasih sayang Allah kepada kita. UMNO dilucutkan kuasa kerana Allah mahu kita bermuhasabah diri, apakah sepanjang dalam perjuangan ini kita tetap berada di atas jalan dan nawaitu yang sebenar?

“Nabi Muhammad itu adalah kekasih Allah, yang digelar Habibullah. Nabi SAW diberikan kedudukan yang istimewa dan pernah naik mengadap Allah dalam peristiwa Israk Mikraj, di mana Malaikat Jibril sendiri tidak dapat mengikuti baginda mengadap Allah.

“Tetapi kenapa Allah takdirkan kekalahan kepada kekasih-Nya dalam perang Uhud? Bukan sahaja kalah, tapi Nabi SAW sendiri cedera, gigi  Nabi SAW patah. Sahabat dan pakcik Nabi SAW, Saidina Hamzah terbunuh dengan kejam dalam perang itu. Apakah Allah tidak sayang kepada Nabi SAW?

“Sebab itu, kita menerima kekalahan ini dengan rasa redha. Ini adalah takdir Allah kepada UMNO. Qada’ dan Qadar merupakan salah satu rukun iman yang wajib kita yakini. Apa yang penting ialah kita perlu bermuhasabah diri dan bangkit kembali di atas landasan perjuangan yang sebenar untuk mengembalikan maruah serta kekuatan parti,” jelasnya.

Katanya lagi, dalam usaha untuk mengembalikan kekuatan UMNO yang mewakili suara umat Melayu di negara ini, setiap daripada ahli tidak kira di peringkat mana sekalipun mestilah memainkan peranan mengikut kemampuan yang ada pada diri masing-masing.

“Setiap dari kita ini sebagai ahli UMNO, perlu memainkan peranan mengikut kemampuan kita. Ambilah iktibar daripada kisah seekor burung di zaman Nabi Ibrahim a.s. yang berusaha mencari air untuk memadam unggun api yang dinyalakan Namrud untuk membakar Nabi Ibrahim a.s.

“Burung kecil ini terbang mencari air dan menggunakan paruhnya yang kecil itu untuk membawa setitis air untuk memadamkan unggun api itu. Semua makhluk lain merasa pelik dan ketawa kerana tahu tindakan burung itu  tidak akan bawa kesan langsung kepada unggun api yang sedang marak itu.

“Tapi apa kata burung itu? Burung itu berkata, aku tau air setitik di hujung paruh aku ini tidak mungkin akan memadamkan api yang sedang marak itu, tetapi aku lakukan juga usaha kecil ini kerana inilah hujah aku di hadapan Allah sekiranya Tuhan bertanya, ketika kamu melihat Nabi Ibrahim akan dibakar, apa yang kamu lakukan?

“Begitulah kita hari ini. Apabila kita lihat di depan mata agama dan bangsa kita dihina dan dicaci, perlu ada sekerdil-kerdil usaha dari kita sebagai hujah kita di hadapan Allah, bahawa kita telah berusaha setakat kemampuan kita untuk mempertahankan syiar agama-Nya di negara ini,” tegasnya.-MediaUMNO