PAU 2018 Bawa Makna Kekalahan Yang Bakal Mencipta Kemenangan Luar Biasa

KUALA LUMPUR, 1 Okt – Semalam, berakhirnya satu perhimpunan terbesar orang-orang Melayu yang bernaung di bawah Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu ataupun UMNO yang berlangsung selama tiga hari bermula 28 September lalu.

Biarpun perhimpunan dan persidangan terbesar bangsa Melayu ini sentiasa mencuri perhatian pelbagai pihak saban tahun, namun Perhimpunan Agung UMNO 2018 (PAU 2018) kali ini agak berbeza di mana ia dinantikan penuh debaran, bukan sahaja dikalangan ahli dan orang-orang Melayu, tetapi juga di kalangan musuh-musuh politik UMNO itu sendiri.

Ini kerana, perhimpunan kali ini bukanlah hanya satu perhimpunan yang pertama kali diadakan setelah UMNO tidak lagi menjadi tonggak kerajaan dan berubah posisi kepada pembangkang, tetapi perhimpunan kali ini juga menjadi kayu pengukur sejauh mana UMNO itu masih lagi relevan di kalangan ahli dan orang Melayu itu sendiri.

Ternyata, PAU 2018 telah mengundang kekecewaan yang amat besar kepada musuh-musuh UMNO, apabila sangkaan mereka yang menjangkakan parti ini akan terkubur dek kerana tidak ada lagi sokongan ahli dan orang Melayu setelah tewas di dalam PRU ke-14 yang lalu, ternyata meleset sama sekali.

Mereka berputih mata untuk melihat PAU 2018 kali ini menjadi satu perhimpunan yang hambar dan kosong tanpa sokongan ahli parti, apabila Dewan Merdeka dan bangunan PWTC tetap dipenuhi oleh ahli dan perwakilan UMNO yang datang dari seluruh pelusuk negara.

Malah, kekecewaan musuh-musuh UMNO itu menjadi kekecewaan yang berganda, kerana bukan saja perhimpunan ini tidak hambar, tidak kosong sebagaimana yang mereka harapkan, tetapi sebaliknya ia menjadi satu perhimpunan yang mencatat satu lembaran baru perpaduan bangsa dalam sejarah politik Melayu terkini, apabila kepimpinan tertinggi Parti Islam SeMalaysia (PAS) yang diketuai oleh Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man turut hadir sebagai tetamu di dalam perhimpunan terbesar bangsa Melayu ini.

Kehadiran pimpinan tertinggi PAS ini boleh diterjemahkan sebagai satu isyarat, bahawa kedua-dua buah parti terbesar Melayu ini telah bersedia untuk menamatkan permusuhan selama puluhan tahun, kembali bertaut dan bersatu demi Islam, demi maruah bangsa dan demi untuk memperkukuhkan kembali kuasa politik bangsa Melayu dan umat Islam di negara ini.

Hubungan silaturrahim yang kembali terjalin antara UMNO dan Pas dengan hadirnya kepimpinan tertinggi mereka dalam perhimpunan agung kali ini, boleh dilihat sebagai satu petanda awal kepada kebangkitan kuasa politik Melayu yang bakal menjadi lebih kukuh dan kuat berbanding sebelum ini, yang akan memberikan manfaat yang besar kepada umat Melayu dan negara secara amnya.

Ternyata, PAU 2018 yang berakhir semalam memperlihatkan realitinya. UMNO itu masih lagi kukuh dan utuh dengan hembusan semangat ahli-ahli dan orang Melayu yang hadir berbondong-bondong, memenuhi Dewan Merdeka dan persekitaran PWTC, yang menjadi tempat laungan keramat Hidup Melayu, Hidup UMNO saban tahun semenjak tertegaknya bangunan bersejarah ini.

Dan PAU 2018 ini juga telah memberikan isyarat, bahawa perjalanan menuju kepada satu kemenangan luar biasa itu sudah pun mula mengorak langkahnya.

Ini dapat dilihat daripada cetusan semangat yang luar biasa, perbahasan yang bermutu dan rasional, serta tidak lagi bernostalgia dengan kekalahan yang berlaku diperlihatkan oleh para perwakilan UMNO melalui perbahasan-perbahasan mereka di kesemua peringkat.

Kehadiran perwakilan yang cukup memberansangkan di persidangan sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO sudah cukup untuk memperlihatkan generasi pelapis kepimpinan UMNO yang  tidak patah semangat, bahkan cukup bersedia untuk mengorbankan masa dan tenaga demi untuk memperkukuhkan kembali parti keramat ini, dapat dilihat daripada ucapan perbahasan-perbahasan daripada wakil ketiga-tiga sayap tersebut.

Begitu juga di hari terakhir perhimpunan di mana ketika berlangsungnya perbahasan, Dewan Merdeka masih lagi penuh dengan para perwakilan yang tidak berganjak daripada mengikuti perbahasan wakil-wakil UMNO di setiap negeri, memperlihatkan komitmen dan semangat mereka untuk mendengar ide dan pandangan setiap perwakilan untuk disebar luaskan apabila mereka pulang ke kawasan masing-masing selepas ini.

Melalui perbahasan yang diperdengarkan oleh perwakilan UMNO melalui persidangan kali ini, boleh dibuat kesimpulan bahawa ahli-ahli UMNO sebenarnya melihat kejatuhan UMNO setelah 61 tahun berada di puncak kuasa ini adalah dari sudut pandang yang amat positif.

Kekalahan ini dipandang bukan sekadar kekalahan biasa, tetapi kekalahan yang bakal mencipta kemenangan yang mungkin bersifat luar biasa pada masa akan datang.

Presiden UMNO yang baru, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi perlu diberi peluang untuk mengemudi bahtera UMNO ini setelah memperlihatkan iltizam, kesetiaan dan keikhlasannya kepada perjuangan parti, di mana beliau sanggup untuk memikul amanah dan tanggungjawab mengepalai parti yang tidak lagi menjadi kerajaan.

Ini bermaksud, beliau sedang menjadi  nakhoda sebuah parti yang bakal berhadapan dengan pelbagai cabaran tatkala dalam keadaan yang penuh dengan kekurangan dan kepayahan, di saat pemimpin-pemimpin yang seangkatan dengan beliau sudah mula angkat kaki dan ada yang hanya mampu mendiam diri.

Apatah lagi dalam senario politik kerajaan baru yang diterajui oleh Tun Mahathir hari ini, yang dilihat semakin terdesak untuk menekan, malah mahu menguburkan UMNO daripada gelanggang politik tanahair ini, namun beliau tetap teguh untuk berdiri menjadi nakhoda kepada kapal yang sedang belayar di lautan yang sangat bergelora ini.

Dalam usaha untuk mengembalikan keyakinan rakyat, khususnya orang Melayu kepada UMNO, serta usaha memperkukuhkan perpaduan dan solidariti ahli parti, maka dalam PAU 2018 ini, Presiden UMNO yang baru itu juga telah menggariskan 21 langkah berdasarkan 7 teras bagi mencapat matlamat itu.

Walaupun bagaimanapun, apa saja langkah yang diambil, apa saja garis panduan yang diberi, apa yang lebih penting ialah ahli dan kepimpinan UMNO mesti mengambil iktibar daripada kekalahan yang dialami oleh UMNO buat julung kalinya ini.

Sekiranya ahli dan kepimpinan UMNO berjaya menyanggahi segala persepsi negatif seperti lupa diri, bongkak, sombong, tidak mendengar suara ahli dan bangsa Melayu dengan memperbaiki segala kelemahan diri dan nawaitu perjuangan, serta memperbaiki cara dan corak pendekatan politik yang digunakan selama ini, insya-Allah UMNO akan kembali menjuarai hati rakyat, khususnya orang Melayu di negara ini.

Selagi UMNO yang lahir sebagai manifestasi perjuangan bangsa kekal sebagai wadah perjuangan yang asal dan tidak menyimpang dengan kepentingan peribadi yang bercabang-cabang, maka UMNO akan terus bernafas dengan hembusan semangat orang-orang Melayu.

Namun jika UMNO terus dilihat khayal dengan nafsu nafsi jawatan tertinggi, kemaruk dengan harta duniawi dan meninggalkan perjuangan yang azali, maka percayalah satu hari kelak kita akan melihat UMNO itu akan dikuburkan oleh bangsa Melayu itu sendiri.-MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.