Wakil Perak Cadang Tiga Langkah Untuk Kembali Pulihkan UMNO


KUALA LUMPUR, 30 Sept – Wakil Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Aminuddin Md Hanafiah mencadangkan tiga langkah yang boleh diambil bersama oleh parti dalam usaha memulihkan UMNO hari ini.

Langkah tersebut ialah ‘to un-learn’ iaitu keluarkan tabiat-tabiat tidak baik dari diri kita, ‘to learn’ dengan belajar menyesuaikan diri dengan landskap baru dan ketiga ialah ‘to re-learn’ yang mempelajari semula perkara yang mungkin telah diabaikan ketika memerintah.

“Jujurlah dalam menganalisa kekalahan parti dan mengambil pembetulan yang tepat supaya langkah yang sewajarnya benar-benar dapat memberi kekuatan kepada parti dan keseluruhannya.

“Mungkin tiga langkah ini dapat memberi sedikit panduan kepada kita untuk melalui proses pemulihan dan pertamanya pisahkan diri dari gaya politik lama yang mengikis sokongan, seterusnya buang sikap ‘self centric’ yang mana kita hanya berkisar sesama sendiri sehingga masyarakat berasa terasing dengan parti.

“Banyak yang telah berlaku di luar sana tanpa kita sedari tetapi kita terperangkap dalam dunia kita sendiri. Seterusnya jauhilah sikap ambil mudah dan sambil lewa. Ungkapan ‘kita kuat’, orang tidak akan lari daripada kita cukup-cukuplah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahas usul ucapan dasar Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO 2018, di Dewan Merdeka, di sini, hari ini.

Katanya lagi budaya politik ‘Patron Client’ atau ‘Patronage’ juga perlu dikikis selain membuang perasaan dan tanggapan ‘might is always right’.

“Memang pemimpin perlukan pengikut tetapi biarlah berpada. Janganlah sehingga membutakan mata hati untuk membuat keputusan yang terbaik untuk parti.

“Hanya kerana kita berkuasa tidak bermakna kita sentiasa betul dan berhak melakukan sesuatu mengikut kehendak kita. Ingat kuasa sebenar dalam sistem demokrasi adalah di tangan rakyat,” ujarnya.

Pada masa yang sama beliau turut melontarkan pandangan untuk sama-sama belajar menyesuaikan diri dengan landskap politik baru.

“Terima hakikat ‘kita pembangkang’. Bentuk ‘mindset’ yang bersesuian. Dalam memahami landskap politik baru, rakyat lebih minat isu sejagat manakala golongan pertengahan Melayu sudah semakin ramai. Pemikiran mereka berbeza.

“Oleh itu kita membangkang untuk kepentingan rakyat dan bukannya untuk kelangsungan parti kita semata-mata. Sikap yang perlu ada dinamik, analitical, kritikal dan sebagainya lagi amat perlu.

“Sebelum kita berupaya menawan, kita mestilah terlebih dahulu berusaha memulihkan semula kredibiliti kita,” katanya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.