Sudah-Sudahlah Salahkan Kerajaan Terdahulu – Wanita UMNO

KUALA LUMPUR, 29 Sept – Sudah-sudahlah menyalahkan kerajaan terdahulu dan menjadi kerajaan yang flip-flop, bidas Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Dr Noraini Ahmad kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Katanya, sebagai pembangkang yang berwibawa, kita wajib mendesak Kerajaan PH memikul tanggungjawab serta akauntabiliti terhadap setiap tindakan mereka.

“Memang benar, Manifesto 10 Janji 100 Hari bukanlah kitab suci, tetapi, setiap janji perlu ditepati.

“Taktik ‘kejap-kejap terkejut’ dan alasan klise ‘akan dikaji’, dan kemudiannya ‘sedang dikaji’ bukanlah cara untuk mentadbir kerajaan,” bidasnya dalam ucapan dasar Wanita UMNO pagi ini di Dewan Merdeka.

Tegasnya, sebelum PRU, bergegar janji mereka untuk melakukan macam-macam perkara, tetapi sesudah mendapat kuasa dan jawatan, mereka berikan pelbagai alasan.

“Kononnya hendak menghapuskan Goods and Services Tax (GST) yang membebankan rakyat, tetapi kini rakyat terpaksa pula menanggung Sales and Services Tax (SST).

“Kita lihat pula dalam isu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Dulu ada orang berdegar-degar mengatakan sangat bersimpati dengan penerima PTPTN.

“Tetapi sesudah mendapat kuasa dan kedudukan, mereka kata; “Tiada tanggungjawab moral kalau peminjam tak bayar PTPTN.”

Begitu juga katanya janji oleh seorang individu yang kini menjadi menteri, untuk menghapuskan tol dari Simpang Renggam ke Johor Bharu.

“Kononnya, sebanyak RM248 dapat dijimatkan dalam sebulan tapi sekarang mana pergi janji tersebut?

“Jangan lupa juga kepada laungan mereka di sebelah sana – yang kononnya kerajaan akan menurunkan harga petrol RON 95 kepada RM1.50 seliter pada hari pertama PH menang.

“Sehingga hari ini, sesudah 142 hari mereka memerintah, harga masih di takuk lama.”

Bidas beliau lagi, provokasi terhadap agama Islam juga semakin ketara.

“Isu Lesbian, Gay, Bisexual dan Transgender (LGBT), kebebasan beragama, isu matrimonial dan pelbagai lagi merengsakan kehidupan umat Islam di Malaysia.

“Kalau pandai mentadbir, secupak pun akan menjadi segantang,” katanya lagi secara sinis. – MediaUMNO

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.