Pemuda UMNO Tegaskan Tidak Berkompromi Dengan Kecelaruan ‘Malaysia Baharu’ PH
KUALA LUMPUR, 29 Sept – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuku menegaskan bahawa UMNO tidak sesekali berkompromi dengan apa jua bentuk idealogi era pasca-moden yang mula berani menjelma di bawah pemerintahan baru Kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Katanya, hakikatnya, Pemuda UMNO merasakan bahawa era ‘Malaysia Baharu’ kini diselaputi dengan pelbagai kecelaruan.
“Kecelaruan dari segi politik dan pentadbiran, kecelaruan dalam aspek perundangan, kecelaruan dalam pengurusan ekonomi negara dan lebih membimbangkan apabila rakyat turut dicelarukan dengan pelbagai penyimpangan agama dan nilai,” katanya dalam ucapan dasar ketua pergerakan Pemuda UMNO yang bersidang hari ini bersempena Perhimpunan Agung UMNO 2018 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Katanya, nampaknya Kerajaan hari ini kalau mengikut bidalan Melayu lama ‘agak lebih, daripada agih’ iaitu lebih banyak bercakap dan menyalah daripada bekerja.
“Lebih banyak berdalih daripada cuba mengota ‘seperti air besar sampah tak hanyut’ dengan pelbagai harapan dan janji-janji yang akhirnya dikhianati.
“Kononnya nak hapuskan hutang PTPTN sehinggakan orang muda berjaya diumpan untuk menukar kerajaan, tetapi bila berkuasa, maruah mereka pula disergah dengan melabelkan mereka tidak tahu malu kerana tak bayar hutang.
“Kononnya atas dasar penjimatan, BR1M, bantuan sara hidup nelayan, kenaikan gaji penjawat awam tidak diteruskan, tetapi pada masa sama projek-projek yang
menguntungkan para kroni dan kapitalis seperti Projek Kereta Nasional Ke-3 hendak dibangunkan semula.
“Kononnya nak bela warga kota yang terbeban kos sara hidup dengan menghapuskan tol, tetapi bila sudah menang bagi alasan kerajaan pula yang terbeban kerana kos pengambil-alihan konsesi tol mencecah RM400 Bilion.”
Kononnya lagi nak mengangkat “Rule of Law”, tetapi satu persatu norma perundangan dan kehakiman dicabuli, kes-kes melibatkan kepimpinan kerajaan digugurkan sesuka hati, pemimpin-pemimpin pembangkang pula dimalukan sebelum dibicarakan, dihukum sebelum disabitkan.
“Di manakah ‘Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-undang’ yang dicanangkan?
“Ini semua bukti dendam kesumat, kerakusan dan keserakahan Sang Penguasa sehingga dirobek ‘Kesopanan dan Kesusilaan’. Kita ingat kerajaan Malaysia Baharu ini benar-benar nak angkat “Rule of Law” tetapi rupa-rupanya “Law of the Jungle”.
“Akhirnya rakyat semakin keliru, negara makin celaru. Tidak tahu fakta mana yang betul. Sekejap kata hutang negara mencecah RM 1 trillion (berbanding catatan rasmi Bank Negara Malaysia (BNM) RM725.8 billion setakat suku tahun kedua 2018), tetapi setelah berlakunya aliran keluar modal secara besar-besaran, mencecah RM38.27 billion lantaran cemas dengan pendedahan ini (hingga menjejaskan Bursa Saham Malaysia), keluar pula kenyataan yang berbeza.”
Tegasnya, sekejap kata negara akan bankrap, tetapi baru empat bulan berkuasa YB Menteri sekali lagi ubah kenyataan asal, mendakwa ekonomi kembali kukuh.
“‘Pelik bin ajaib’, ‘jampi serapah’ apa yang digunakan boleh merubah negara yang bankrap menjadi hebat dalam tempoh yang singkat. Itu tidak termasuk salah titik perpuluhan tatkala cuba menyalah kerajaan lama berkenaan angka baki tabung bayaran balik GST.
“Memang wajarlah kita syorkan Menteri ‘Hentam Saja’ dinobatkan ‘Menteri Kewangan Terbaik Dunia’ kerana tidak pernah dalam sejarah dunia sebuah negara berubah cemerlang hanya 4 bulan berkuasa. Cuma sayangnya beliau rupa-rupanya berhati tisu.
“Ini baru karenah seorang Menteri, belum lagi Menteri-menteri lain yang berterusan mengeluarkan kenyataan demi kenyataan memperbodohkan rakyat,” katanya.
Katanya, ada Menteri yang kononnya tunjuk prihatin kepada kos sara hidup nelayan setelah dia sendiri mansuhkan segala subsidi dan sara hidup bulanan, dicadangkan pula menanam nenas dan rambutan di belakang rumah bagi menambah pendapatan. Inilah agaknya pandangan luar kotak ‘out of box’ pak menteri, mencetuskan inovasi penanaman nenas dan rambutan di kawasan tanah pasir.
“Ada pula Menteri yang bangga mendedahkan rahsia keselamatan dan pertahanan negara kononnya hanya empat sahaja pesawat pejuang negara yang boleh terbang, tapi pada hari sambutan Kemerdekaan kita dipersembahkan dengan lintas hormat puluhan jet-jet pejuang yang megah terbang.
“Ada juga Menteri yang begitu teruja untuk menzahirkan keterbukaan, memperjuangkan kebebasan, meraikan semua kelompok minoriti walaupun ada yang sesat lagi menyesatkan. Ada yang dilayan bak raja sehinggakan isu tandas merekapun menjadi agenda nasional.
“Dahulu Kerajaan BN mengangkat martabat golongan OKU sehingga kemudahan tandas mereka kita bela. Datang Menteri Malaysia Baharu, senang-senang nak menyerahkan hak OKU yang kita bela.”
Katanya, ini hanyalah sebahagian koleksi-koleksi kenyataan Anggota Pentadbiran Kerajaan Baharu yang sempat dikongsikan.
“Banyak lagi kecelaruan yang dicetuskan oleh Kerajaan Baharu dengan sandiwara yang mereka persembahkan setakat hari ini tidak ubah seperti “berlindung di sebalik telunjuk”, “sudah palit, mudah pula mencalit”.
“Mungkin inilah sebabnya Perdana Menteri semacam sudah hilang percaya dan yakin kepada Memanda Menteri-menterinya sendiri, sehinggakan terpaksa mengekalkan Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) walaupun janjinya hanya untuk 100 hari, tapi kita sudah tidak hairan dengan Janji 100 Hari kerana bak kata Perdana Menteri ‘Manifesto Bukan Kitab Suci’.”
Namun tegasnya, janji itu adalah sesuatu yang wajib dipenuh kerana ia adalah tuntutan agama yang tidak wajar dikhianati. – MediaUMNO