Seekor Dua Ayam Keluar Reban Dan Tidak Berkokok, Hari Tetap Siang – Mohamad Hasan
KUALA LUMPUR, 27 Sept – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan berkata, UMNO masih lagi mempunyai sokongan yang kuat di peringkat akar umbi yang masih lagi setia dan berdiri teguh dengan perjuangan parti, biarpun UMNO tidak lagi memegang tampuk kerajaan di negara hari ini.
Menurut beliau, yang lari keluar daripada UMNO hari ini adalah terdiri daripada golongan pemimpin sahaja, tetapi majoriti ahli-ahli dan penyokong UMNO di seluruh pelusuk negara masih lagi setia untuk terus bersama UMNO.
“Yang lari tukar parti ini pemimpin sahaja, tetapi di peringkat akar umbi, UMNO masih lagi mendapat sokongan yang kuat daripada ahli dan para penyokong parti.
“Dengarnya, di peringkat kampung-kampung, Pakatan Harapan nak memilih ketua kampung pun orang tak mahu terima. Terpaksalah mereka ambil orang-orang luar untuk menjadi ketua kampung kerana tidak ada orang di kampung tersebut yang sudi menerima tawaran untuk menjadi ketua kampung bagi pihak PH.
“Jadi tak usahlah kita risau sangat dengan seorang dua yang keluar meninggalkan parti. Seekor dua ekor ayam tidak berkokok, hari tetap siang juga. Jangan risau. Jangan ingat ayam dua tiga ekor ini keluar reban dan tidak berkokok, hari tidak siang, hari tetap akan siang.
“Kekuatan UMNO adalah di akar umbi. Kekuatan UMNO bukanlah di PWTC. Kekuatan sebatang pokok adalah di akarnya, bukan di daun-daun, bukan dipucuknya. Mereka inilah akar umbi yang bekerja siang dan malam, dan inilah yang kita kena jaga. Akar umbi inilah yang kita kena perkasakan semula,” tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika dijemput menjadi ahli panel dalam program diskusi khas bersempena Perhimpunan Agung UMNO 2018 yang bersiaran langsung melalui medium facebook rasmi UMNO Online.
Sebab itu katanya lagi, akar umbi ini perlu diperkasakan kerana mereka diperingkat akar umbi inilah yang membina kekuatan parti sejak dulu hingga kini.
“Sebab itu kita kena perkenalkan semula apa sebenarnya penghayatan terhadap perjuangan UMNO. Kebanyakkan orang jadi ahli UMNO adalah kerana pemimpin. Dia sokong Tok Mat, maka dia jadi ahli UMNO. Dia sokong Datuk Seri Zahid, maka dia pun jadi ahli UMNO. Kadang-kadang mereka tak tahu pun apa perjuangan UMNO itu sendiri.
“Sebab hari ini, mereka tidak dapat menghayati apa itu perjuangan UMNO. Saya dulu masuk UMNO, umur 16 tahun. Arwah ayah dulu saya ketua cawangan. Ke hulu ke hilir saya naik basikal ikut ayah pergi mesyuarat cawangan. Mesyuarat bukan dibuat di balai raya. Mana ada balai raya masa itu.
“Sebab itu saya menghayati perjuangan UMNO. Sebab itu, walaupun saya sudah berjaya di dalam bidang korporat, saya masih lagi kuat bergerak dengan UMNO. Ini kerana bagi saya, UMNO itulah yang telah menolong saya. UMNOlah yang membangunkan negara. Dasar UMNO telah berikan peluang kepada anak Melayu kampung macam saya ini, buatkan saya berjaya. Itu sebab saya sayangkan UMNO.
“Orang sekarang, bukan pejuang, tapi peju-wang. Mereka masuk UMNO kerana ada peluang. Jadi inilah sebahagian daripada kualiti ahli yang ada pada UMNO hari ini. Sebab itulah, bila UMNO ada masalah dan ditimpa ujian seperti hari ini, mereka lari lintang pukang meninggalkan UMNO sebab sudah tidak ada peluang,” tegasnya.-MediaUMNO