Baru Kalah Sekali… Jangan Mengalah, UMNO Mampu Bangkit – Mohamad Hasan


KUALA LUMPUR, 27 Sept – Ahli-ahli UMNO diseru jangan putus harapan dengan kekalahan parti yang berlaku pertama kali dalam sejarah, kerana UMNO mampu untuk bangkit semula kerana parti ini mempunyai  track record  yang baik sepanjang 61 tahun menjadi tonggak utama pentadbiran kerajaan di negara ini, demikian kata Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Menurutnya, takkanlah baru sekali UMNO tewas dan tidak lagi menjadi tonggak utama kerajaan, parti ini sudah tidak berdaya untuk bangun semula.

“Sebanyak 14 kali pilihan raya, kita menang 13 kali dan baru kali ini kita kalah. Takkanlah baru kalah sekali kita sudah monyok, bak kata orang negeri Sembilan, lomau. Jika mahu dibandingkan dengan pihak pembangkang yang sudah 13 kali kalah, baru sekali saja menang pada PRU (pilihan raya umum) ke 14 baru ini.

“Jadi, ahli-ahli UMNO jangan putus harapan. Kita sudah ada sejarah, kita sudah ada track record dan kita ada pemikir-pemikir di dalam parti. Apa yang penting sekarang macam mana kita nak kumpulkan semula kekuatan dan bagaimana kita mahu mengagihkan tugas dan peranan masing-masing,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika dijemput menjadi ahli panel dalam program diskusi khas bersempena Perhimpunan Agung UMNO 2018 yang bersiaran langsung melalui medium facebook rasmi UMNO Online.

Dalam usaha untuk membangkitkan semula kekuatan UMNO, Mohamad berkata parti memerlukan dua teras utama yang perlu dilaksanakan untuk mencapai matlamat tersebut.

“UMNO mesti ada dua teras utama. Pertama, memperkasakan parti. Parti mesti ditransformasikan supaya kita dapat bangkit semula. Boleh jadi kita mesti ada blueprint kita untuk 10 tahun akan datang. Kita mesti ada perancangan jangka pendek, sederhana dan jangka panjang. Setiap bahagian, setiap negeri kita akan buatkan template dalam usaha kita untuk memperkasakan parti.

“Dan yang kedua kita mesti mengatur strategi untuk kita menang PRU ke 15 akan datang ini. Ini pun penting kerana kita tidak boleh tunggu lama-lama. Kita mesti ambil balik kuasa pemerintahan pada PRU ke 15 ini.

“Jadi dua perkara teras ini mesti dipandu, mesti dianggotai oleh orang yang berlainan. Sebab dua teras ini adalah dua perkara yang berlainan. Dua perkara yang memerlukan pemikiran strategik yang berlainan. Untuk memperkasakan parti, ia mesti ada unjuran untuk membina semangat ahli agar dapat menarik orang ramai kembali bersama kita.

“Manakala untuk memenangi PRU ke 15 nanti, kita mesti buat aktiviti dan strategi yang lain, sebagai contohnya kita membuat bajet bayangan kita pada bulan 10 ini untuk menyaingi bajet yang dibentangkan oleh kerajaan,” jelasnya.

Katanya lagi, ahli parti janganlah selalu  meletakkan UMNO sebagai parti pembangkang, tetapi ahli UMNO mestilah meletakkan parti ini sebagai sebuah government in waiting, memandangkan senario politik hari ini memperlihatkan tidak ada satu parti pun yang mempunyai kerusi majoriti.

“Ini disebabkan keadaan politik hari ini tidak menentu. Kerajaan yang sedia ada hari ini boleh dianggap sebagai hang parliament, di mana tidak ada satu parti yang betul-betul mendapat majoriti untuk mentadbir negara.

“Dan saya tak selalu anggap UMNO ini sebagai pembangkang. Kita mesti anggap UMNO adalah government in waiting. Kita ini adalah pesaing kepada kerajaan dan kita mesti bersaing. Kalau kita menganggap diri kita sebagai pembangkang, pembangkang ini kerjanya hanyalah membangkang.

“Tetapi kalau kita anggap UMNO ini pesaing kepada parti kerajaan yang sedia ada, maknanya kita mesti sentiasa mahu bersaing. Bila kita mahu bersaing, kita mesti berada sama taraf atau lebih terkehadapan daripada pesaing kita.

“Jadi macam mana mahu kita jadi semacam itu? Sebab itu saya katakan tadi, kita mesti ada usaha untuk memperkasakan parti dan fokus kepada strategi untuk memenangi PRU yang akan datang ini,” tegasnya.-MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.