UMNO Kecam Penggunaan Bahasa Cina Dan Inggeris Dalam Urusan Surat Rasmi

KUAlA LUMPUR, 26 Sept – UMNO mengecam tindakan Ahli Majlis Bandaraya Iskandar Putri, Johor yang menggunakan bahasa Cina dan Inggeris dalam satu surat jemputan rasmi.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa menegaskan tindakan menjemput dalam bahasa lain selain bahasa Melayu ini jelas bercanggah dengan kedudukannya sebagai Bahasa Kebangsaan yang wajib digunakan dalam semua urusan rasmi kerajaan dan tidak terkecuali Kerajaan Tempatan.

“Tindakan ini telah memperlekehkan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan. Lebih dikesalkan apabila Ahli Exco Kerajaan Tempatan, Sains dan Teknologi Negeri Johor dari Dap, Tan Hong Pin mempertahankan tindakan Ahli Majlis MBIP tersebut.

“Walaupun tindakan menggunakan bahasa asing tersebut telah mencetuskan kemurkaan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan bantahan daripada pelbagai lapisan masyarakat dan pimpinan NGO serta parti politik tetapi ianya seakan tidak diendahkan.

“Sebenarnya tindakan kerajaan Negeri Johor di bawah pimpinan PH ini adalah satu provokasi terhadap kedaulatan bahasa Melayu yang telah termaktub dalam Perlembagaan Malaysia,” ujar beliau yang juga Pengerusi Majlis Bahasa dan Budaya Majlis, Kerja Tertinggi UMNO dalam satu sidang media di Ibu Pejabat UMNO, hari ini.

Justeru, UMNO mendesak Menteri Besar Johor mengambil tindakan tegas terhadap perilaku Ahli Majlis MBIP agar Bahasa Melayu dihomati oleh seluruh rakyat Malaysia.

Majlis Bahasa dan Budaya MT UMNO juga mendesak agar pihak Kerajaan PH khasnya Dap menyatakan pendirian terhadap isu tersebut kerana tindakan mengenepikan Bahasa Melayu dalam urusan rasmi kerajaan telah menghina Sultan dan kedudukan istimewa bahasa Melayu.

“Selain itu Majlis Bahasa dan Budaya MT UMNO juga mendesak agar Dewan Bahasa dan Pustaka menguatkuasakan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 (Akta32) bertujuan memastikan kedaulatan dan bahasa kebangsaan diaplikasi dan diimplimentasi secara holistik dalam struktur pemerintahan negara di semua agensi kerajaan.

Untuk rekod, perlembagaan Persekutuan Artikel 152 menyatakan dengan jelas bahawa Bahasa Melayu adalah bahasa rasmi negara. Sejak merdeka, Bahasa Melayu telah digunakan dalam sistem pendidikan dan seluruh urusan rasmi negara, tanpa terkecuali Kerajaan Tempatan. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.