Label Peminjam PTPTN Tak Amanah… Siapa Sebenarnya Yang Tidak Amanah? – Dr Shamsul
KUALA LUMPUR, 23 Sept – Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah menempelak kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang melabelkan peminjam PTPTN dengan pelbagai gelaran kerana ianya adalah tidak wajar sebaliknya usaha-usaha sebagaimana kerajaan terdahulu iaitu Barisan Nasional (BN) lakukan hendaklah dibuat.
Sebab itu jugalah katanya, kalau ditanya siapa sebenarnya yang tidak amanah tentulah kerajaan hari ini.
“Kenapa saya berkata begitu sebab rakyat khususnya anak muda menggundi mereka kerana termakan janji manis PH sewaktu kempen menjelang PRU14. Apabila janji tidak ditunai itu sebenarnya tidak amanah,” katanya sebagai mengulas berkaitan polemik isu PTPTN hari ini.
Katanya, beliau setuju kalau usaha dibuat supaya penerima pinjaman PTPTN membayar hutang pinjaman mereka.
“Ini kerana itulah yang dilakukan oleh PTPTN sewaktu di bawah Kerajaan BN dahulu. Walaupun usaha kita dulunya ditentang dan kononnya kita zalim serta tidak menjaga anak muda, namun itu dibuat untuk pastikan aliran pusingan kewangan kita berjalan dengan baik demi kelestarian PTPTN serta memastikan keupayaan PTPTN menyediakan dana secukupnya untuk hampir 200,000 pelajar baharu dan sekitar 600,000 pelajar sedia ada yang sedang belajar di universiti.
“Ini kerana setiap tahun PTPTN mesti sediakan dana antara RM3 bilion – RM4 bilion untuk keperluan pembiayaan pendidikan. Ini kita lakukan dalam usaha mengurangkan kebergantungan PTPTN kepada institusi kewangan bagi mendapatkan dana untuk pembiayaan pelajar. Kita mahu gunakan kutipan balik itu untuk diberikan pula kepada pelajar baharu.
“Namun kalau melabelkan keseluruhan mereka sebagai ‘tidak amanah’ ia rasanya adalah tidak berapa sesuai,” katanya yang juga bekas Pengerusi PTPTN.
Ini kerana katanya, kerajaan atau Wan Saiful Wan Jan selaku Pengerusi PTPTN perlu memahami bahawa banyak sebab kenapa mereka yang telah dapat pembiayaan ini tidak membayar balik pinjaman.
“Saya akui ada sebahagiannya memang sengaja tidak mahu membayarnya walaupun mereka sudah punyai pendapatan tetap. Bagaimanapun, ada juga faktor lain yang menyebabkan mereka tidak bayar misalnya masih lagi tidak bekerja, ada yang bekerja tetapi pekerjaan mereka masih di bawah tahap kelulusan yang mereka miliki”, ujarnya.
Justeru jelas beliau kalau hendak diteliti banyak lagi faktor lain, tapi juga ramai yang tidak bayar hutang sebenarnya kerana terpengaruh dengan janji pembangkang dahulu yang menjadi kerajaan sekarang.
“Saya ingin kongsi pengalaman bahawa, pernah suatu ketika aliran pusingan kewangan PTPTN berada dalam keadaan tidak baik dan jauh merosot. Ramai yang tidak membayar pinjaman.
“Kenapa mereka tidak mahu bayar ? Ini kerana terpengaruh dengan mainan politik dan janji populis pembangkang ketika itu. Di mana menjelang PRU13, ramai terpedaya kononnya ‘hutang PTPTN akan dihapuskan’. Kesannya aliran kewangan PTPTN begitu teruk akibat ramai tidak membayar pinjaman kerana terpengaruh dengan janji pembangkang untuk hapuskan hutang dan PTPTN”, katanya.
Tegas beliau lagi, apabila ramai tidak membayarnya menyebabkan dana tidak cukup maka potongam terpaksa dibuat sebanyak 5 peratus kepada pelajar ke IPTA dan 15 peratus pinjaman pelajar ke IPTS.
“Ini satu daripada ‘jasa’ pembangkang ketika itu kepada rakyat. Potongan terpaksa dibuat kerana kutipan jatuh hanya sekitar RM50 Juta sebulan dan hanya sekitar RM700 Juta setahun ketika itu. Sedangkan PTPTN mesti mengutip semula pinjamannya paling kurang RM900 juta setahun. Inilah kesannya jika ramai tidak membayar hutang pinjaman.
“Pada saya apa yang penting Kerajaan PH melalui Pengerusi PTPTN mesti lakukan usaha secara bersungguh. Ketika ini belum nampak sesuatu pendekatan terbaharu kerajaan lakukan melainkan hanya kenyataan media sahaja atau menyambung apa yang PTPTN lakukan sejak dulu.
“Walaupun melepaskan sekatan imegresen dilakukan, pada saya itulah antara punca jumlah kutipan merosot dan menyebabkan bilangan mereka tidak membayar hutang sukar dikurangkan. Ini kerana polisi itu mengalakkan mereka tidak membayar hutang”, ujarnya.
Jelas beliau, Kerajaan BN dahulu sedar tentang semua ini dan faham masalah yang mereka hadapi maka dilaksanakan pelbagai usaha untuk mengalakkan pembayaran dilakukan, antaranya ialah memberikan diskaun 10 peratus kepada yang membayar sekurangnya 50 peratus pinjamannya atau kepada mereka membuat potong gaji dan 20 peratus yang membayar penuh baki hutangnya.
“Saya ingat PTPTN di zaman Kerajaan BN telah mempermudahkan segala urusan dimana mengurangkan urusan di kaunter dan hanya berurusan dihujung jari melalui pelbagai kaedah setanding, malah ada diantaranya melebihi apa yang dilakukan oleh institusi kewangan dalam negara ini.
“Kemudian, di Sambutan Ulang Tahun Ke 20 Tahun PTPTN pada awal 2018 lalu, PTPTN melancarkan program “Jobmatching” iaitu program Nasional Blue Ocean Strategy ( NBOS ) atau kolobrasi dengan sektor swasta dimana antara lain ia adalah usaha menyediakan peluang pekerjaan kepada peminjam kita yang tidak mampu membayar pinjaman.
“Ini bermakna PTPTN sewaktu Kerajaan BN terdahulu mempelbagaikan usaha untuk mendapatkan semula pinjaman PTPTN. Kita lakukan pelbagai usaha dan tidak menyalah atau memaksa mereka membayar saja malah melaksanakan konsep mesra pelanggan atau #bolehbincang.”
Ujarnya, semua langkah ini, berjaya membuahkan hasil iaitu mengikut rekod menjelang 2018 kita telah berjaya kurangkan jumlah peminjam yang langsung tidak pernah membayar balik pinjamam mereka iaitu mereka yang dikumpulan langsung tidak pernah membayar balik pinjaman.
“Malah kutipan balik pinjaman PTPTN meningkat 2016 kepada sekitar RM3.4 Bilion setahun dan lebih RM3.9 Bilion diperolehi pada 2017 bersama dengan Simpanan SSPNi PTPTN. Kerana itu juga PTPTN sejak beberapa tahun telah menukar imejnya kepada Tabung Pendidikan PTPTN.
“Ini sebagai usaha kerajaan ketika itu mengalak rakyat menabung agar kebergantungan kepada pinjamaan di kurangkan dan rakyat beralih untuk melanjutkan pelajaran dengan menggunakan duit simpanan mereka.Budaya ini kita terapkan dikalangan rakyat.
“Justeru itulah, sebagai bekas Pengerusi PTPTN, saya memang tidak setuju jika bayaran balik dimulai ditangga gaji RM4000. Walaupun alasan Wan Saiful Pengerusi PTPTN kononnya data PTPTN tidak lengkap yang menjadi punca ia tidak dilaksana. Pada saya ianya adalah alasan beliau untuk mengelak melaksanakannya kerana mungkin bila sudah menjadi Pengerusi PTPTN baru dia sedar bahawa kesan besar pada kewangan PTPTN akan berlaku jika ia dilaksana.”
Dan satu lagi katanya, adalah tidak tepat jika mengatakan bahawa bekas Perdana Menteri telah mendidik peminjam agar tidak bayar hutang PTPTN kerana lihatlah siapa yang tidak bayarnya.
“Ada antara mereka adalah daripada kumpulan pertama atau terawal mendapat pinjaman yakni sebelum Najib Razak menjadi Perdana Menteri lagi,” ujarnya lagi yang juga Ahli Parlimen Lenggong. – MediaUMNO