Ketua Pembangkang Sgor Bidas Kenyataan Kuota Bumiputera Punca Projek Perumahan Negeri Tidak Terjual
SHAH ALAM, 7 Sept – Dakwaan yang mengatakan kuota Bumiputera menjadi punca projek perumahan di negeri ini tidak dapat dijual dibidas Ketua Pembangkang Selangor, Rizam Ismail.
Mengulas kenyataan Adun Sg Pelek, Ronnie Liu, Rizam berkata, beliau tidak terkejut apabila bekas Exco Kerajaan negeri itu meminta kuota Bumiputera bagi projek perumahan dikurangkan di negeri ini.
“Persoalan utama berkenaan masalah ini bukanlah tidak mahu dibeli tetapi adalah tidak mampu dibeli kerana harga diletakkan pemaju terlalu tinggi.
“Tindakan pemaju bina rumah ‘mampu tengok’ ini beri gambaran mereka sengaja tidak faham keperluan penduduk. Lebih banyak rumah mahal dan mewah dibina sedangkan keperluan semasa adalah rumah mampu milik,” katanya.
Rizam yang juga Adun Sungai Air Tawar berkata, seperti laporan dikeluarkan Bank Negara sebelum ini, terlalu banyak rumah dibina tidak mampu dibeli kerana faktor rakyat yang berpendapatan rendah.
Beliau berkata, pemaju sepatutnya membina rumah sesuai dengan pendapatan rakyat bukannya melambakkan lagi pembinaan rumah mahal dan mewah.
“Kuota Bumiputera tak patut jadi alasan jika pemaju bina rumah mampu dimiliki golongan itu.
“Beliau (Ronnie) patut cari penyelesaian. Bukannya guna cara mudah buat kenyataan yang jelas hanya lindungi kantung keuntungan pemaju namun ketepikan soal kepentingan dan keperluan rakyat,” katanya.
Ronnie sebelum ini katanya, mendakwa kuota antara 50 peratus dan 60 peratus yang diperuntuk ketika ini tidak realistik sekaligus menyebabkan projek rumah tidak mampu dijual.
Beliau berkata, kenyataan tersebut dilihat bukan sahaja membela pemaju namun gagal memahami permasalahan sebenar mengapa unit-unit perumahan tersebut gagal dijual. – BeritaHarian