PRK Balakong: Calon MCA Selar Fitnah Terhadapnya Menerusi Media Sosial
BALAKONG, 6 Sept – Calon MCA bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong Tan Chee Teong menyelar pihak yang memfitnahnya melalui media sosial mengatakan kempennya selama 19 hari telah ‘memaksa’ rakyat mengundi parti itu pada Sabtu ini.
Tan berkata penyebaran fitnah itu disedarinya semalam apabila pemilik akaun tersebut sendiri menandakan (tag) nama akaun Facebook miliknya atas satu gambar kempen beliau bersama pengundi yang telah dimuat naik.
Beliau menyifatkan tindakan pihak tidak bertanggungjawab itu disaat akhir berkempen sebagai ‘politik tidak matang’ kerana pihaknya tidak pernah sekalipun memaksa menyokongnya melainkan mendengar serta mengutamakan masalah rakyat.
“Saya menyeru pemilik akaun Facebook atas nama ‘Yau Loh’ supaya hentikan fitnah. Gambar saya bertemu pengundi yang dimuat naik untuk fitnah itu juga telah ‘dicuri’ oleh pihak tersebut daripada akaun Facebook saya. Satu laporan polis terhadapnya petang ini,” katanya dalam satu sidang media, di sini hari ini.
PRK berkenaan yang diadakan berikutan kematian penyandangnya Eddie Ng Tien Chie dalam satu kemalangan jalan raya 20 Julai lepas dan menyaksikan persaingan satu lawan satu antara Tan dan calon Pakatan Harapan Wong Siew Ki.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Ng menewaskan calon Barisan Nasional, Lim Chin Wah dan Mohamad Ibrahim Ghazali (PAS), dengan majoriti 35,538 undi.
Dalam perkembangan lain, Tan mempersoal kredibiliti kerajaan Selangor berikutan berlakunya lambakan projek perumahan terbengkalai di negeri itu iaitu antara yang tertinggi di seluruh negara sejak mentadbir pada tahun 2009.
“Menurut statistik Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, pada Jun tahun lepas, 27 projek daripada 67 projek rumah terbengkalai direkodkan di Selangor. Ini menunjukkan Selangor bukan saja juara kes denggi tetapi juga projek rumah terbengkalai,” katanya.