Janji Pun Kerajaan PH Tipu Maka Mereka Tidak Akan Malu Cabul Perundangan Negara – Noh


KUALA LUMPUR, 6 Sept – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Tan Sri Noh Omar berkata, ada benarnya dakwaan yang mengatakan bahawa kerajaan Pakatan Harapan hari ini mengamalkan undang-undang rimba daripada menegakkan ‘Rule of Law’ berdasarkan beberapa isu, termasuk isu pengguguran kes rasuah Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang sedang dalam proses perbicaraan.

Menurut beliau, begitu juga yang berlaku ketika dipermulaan sidang Dewan Rakyat di mana Pakatan Harapan melanggar undang-undang di dalam Dewan Rakyat yang merupakan satu institusi paling tinggi dalam pentadbiran negara.

“Sebab itu tidak hairanlah kerajaan hari ini tidak merasa bersalah apabila mereka gagal menunaikan janji-janji mereka terhadap rakyat, bahkan tidak merasa malu untuk mencabul sistem perundangan negara seperti dalam isu penarikan balik kes rasuah Menteri Kewangan, Lim Guan Eng termasuk  beberapa kes lagi yang melibatkan ahli politik PH dan aktivis mereka.

“Begitu juga dengan manifesto PH, mereka beritahu bahawa mereka akan lantik speaker daripada ahli parlimen.  Tetapi ia tidak berlaku begitu. Bayangkanlah, sekiranya ahli-ahli parlimen PH sendiri pun ditipu dengan tidak mengikuti manifesto mereka sendiri, apakah mereka tidak boleh menipu rakyat dengan pelbagai alasan,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika dijemput menjadi ahli panel dalam program diskusi U3.0 membawa tajuk Undang-Undang Rimba yang disiarkan secara langsung melalui medium facebook rasmi UMNO Online.

Tambah Noh, memang tidak dapat disangkal sekiranya ada yang mendakwa bahawa kerajaan PH hari ini mengamalkan undang-undang rimba daripada menegakkan ‘the rule of law’ seperti yang mereka canangkan, apabila ahli parlimen mereka sendiri pun ditipu dan undang-undang dewa rakyat, sebagai institusi tertinggi pentadbiran negara pun mereka langgar.

“Sebab itu, ramai yang terkejut dengan peristiwa yang berlaku pada 3 September lalu apabila peguam negara menggugurkan kes rasuah Lim Guan Eng. Saya kira, bulan september tahun ini kita boleh isytihar bulan terkejut negara. Ini disebabkan, bukan sahaja rakyat, tetapi golongan profesional, akademik, termasuklah PM sendiri terkejut dengan keputusan ini.

“Jika mereka dibebaskan sebelum didakwa, itu tidak mengapa. Tetapi yang mengejutkan kita ialah dalam kes Lim Guan Eng ini adalah sedang dalam perbicaraan. SPRM sudah ada saksi seramai 60 orang dalam kes ini. Seramai 25 orang telah tampil memberikan keterangan. Jadi bagaimana perkara ini boleh berlaku.

“Kita tidak nafikan, sememangnya peguam negara ada kuasa untuk menggugurkan kes pada bila-bila masa, tetapi akan yang ingin kita tekan ialah, jika peguam negara menggunakan kuasa sewenang-wenangnya, sudah tentu ia tidak betul dan tidak dapat diterima.

“Jika peguam negara mahu menggunakan kuasanya, maka dia mestilah menggunakan kuasa itu dengan betul. Jangan sampai menyalahgunakan kuasa. Jadi inilah yang sedang dipersoalkan. Bagaimana kes yang sedang berjalan, tiba-tiba ia boleh digugurkan,” soalnya tegas.-MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.