Di Mana Logik? Kerajaan Sanggup Bayar RM45 Juta Untuk Tangguhkan Projek HSR Hingga 2020


KUALA LUMPUR, 5 Sept – Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan merasa terkejut keputusan kerajaan yang sanggup membayar RM45 juta untuk menangguh projek HSR selama 15 bulan dari sekarang, di mana penangguhan projek itu dilihat sebagai merugikan wang rakyat.

Beliau yang juga merupakan Ahli Majlis Tertinggi UMNO mempersoalkan, mengapa projek tersebut perlu ditangguhkan sehingga tahun 2020, di mana pastinya kos pembinaan HSR akan meningkat lebih tinggi pada tahun 2020 berbanding hari ini.

“Kerajaan PH buat kenyataan Malaysia komited untuk meneruskan projek HSR pada tahun 2020. Ini bermakna 15 bulan dari sekarang.

“Apa yang kita persoalkan, mengapa kerajaan sanggup membayar RM45 juta hanya semata-mata untuk menangguhkan 15 bulan di mana kerajaan akan berdepan dengan risiko kos pembinaan yang pastinya lebih tinggi pada tahun 2020 berbanding sekarang?,”tegasnya beliau dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Tambah Rahman, kenyataan kerajaan berhubung projek ini ternyata bercanggah menyebabkan timbulnya tandatanya di kalangan rakyat berhubung pelaksanaan projek tersebut.

“Dulu, kerajaan PH kata mahu membatalkan HSR kerana kosnya terlalu tinggi. Tetapi mengapa pada tahun 2020, projek ini boleh diteruskan pula?

“Bukankah pada tahun 2020 nanti, pasti kosnya akan bertambah atas faktor masa dan inflasi kos pembinaan?

“Dulu alasan kerajaan untuk batalkan projek ini adalah kerana kos pembinaannya yang mahal, tetapi sekarang kerajaan mahu sambung projek tersebut dengan kos yang lebih mahal pada tahun 2020 nanti. Bukankah ini tidak logik?,”ujarnya.

Beliau seterusnya menggesa agar kerajaan PH hari ini meneliti dan mengkaji sebarang keputusan dengan lebih mendalam dan bukan sekadar main ‘hantam’ sahaja.

“Kos sebanyak RM45 juta yang dibayar kepada Singapura sebagai pampasan sehingga HSR mula dibina pada tahun 2020, itu boleh membangunkan lima sekolah rendah di luar bandar!

“Kos sebanyak itu juga boleh digunakan untuk membina 643 unit rumah rakyat termiskin, yang pastinya akan memberikan manfaat kepada rakyat.

“Sebab itu saya tegaskan, kajian dan penelitian yang rapi perlu dibuat agar kerajaan PH meletakkan keutamaan yang betul dalam membuat satu-satu keputusan,”jelasnya.-MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.