PRK Balakong: 10 Tahun Masalah Sampah, Wabak Denggi Kerajaan Negeri Abaikan

BALAKONG, 2 Sept – Penduduk di Pangsapuri Seri Pulai, Taman Balakong Jaya di sini, bimbang dengan masalah longgokan sampah sehingga menyebabkan penularan wabak demam denggi berikutan isu itu tidak diberi perhatian mana-mana pihak lebih 10 tahun lepas.

Menurut seorang penduduk, M. Krishnan, 58, walaupun masalah itu pernah beberapa kali diadukan kepada pihak berkaitan, tiada sebarang tindakan wajar diambil menyebabkan penghuni di hampir 900 unit pangsapuri berkenaan terpaksa hidup dalam persekitaran kurang menyenangkan.

Lebih memburukkan keadaan, beliau mendakwa kemudahan rumah sampah yang tidak pernah diselenggara dan tidak mempunyai tong menyebabkan ada kalangan penduduk menjadikan hampir 25 unit rumah tidak berpenghuni di situ sebagai tempat longgokan sampah sarap.

“Kami sudah banyak kali buat aduan (masalah sampah) tapi tiada tindakan. Masalah ini pula menyebabkan penularan wabak demam denggi. Bila ada undi (pilihan raya), baru ada pihak mahu tengok kita tapi masih tiada tindakan lanjut sehingga sekarang.

“Jalan di pangsapuri ini pun berlubang-lubang. Taman permainan rosak. Kami amat berharap kepada wakil rakyat baharu nanti dapat datang jenguk kawasan ini. Janganlah sisihkan kami tapi selesaikanlah masalah kami,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Perkara sama turut diakui seorang lagi penduduk, M. Karishma, 18, yang memberitahu tahap kebersihan yang sangat teruk kerap mengganggu kesihatan golongan muda dan warga emas di pangsapuri itu.

Beliau yang tinggal di situ bersama neneknya sejak 10 tahun lepas berkata isu sampah masih tidak selesai itu menyebabkan penduduk terpaksa menghidu bau busuk setiap hari selain menghadapi masalah lalat banyak.

Selain itu, beliau berkata ketiadaan lampu jalan di sekitar perumahan itu menjadikan beliau amat risau dengan tahap keselamatan dirinya yang pulang dari tempat kerja pada sebelah malam.

“Saya kena jalan kaki sejauh satu kilometer dari rumah untuk ke tempat menunggu bas. Bila malam, agak risau juga sebab jalan gelap dan saya ada dengar sini ada penagih dadah. Itu buat saya lebih risau,” katanya.

Bagi seorang warga emas, L. Angelai, 61, beliau menyifatkan nasib golongan itu di pangsapuri berkenaan tidak disantuni mana-mana agensi mahupun pihak berkaitan.

Angelai yang menjaga dua cucunya itu berkata, beliau tidak pernah diberitahu kaedah untuk meminta bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat, dan keperluan hariannya hanya ditanggung anak tunggalnya yang bekerja sendiri.

“Harap kerajaan boleh datang bantu kita nanti,” katanya.

Terdahulu, penduduk di pangsapuri berkenaan yang majoritinya berbangsa India dilawati calon MCA bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong, Tan Chee Teong.

Masyarakat India membentuk sembilan peratus undi bagi DUN Balakong selain pengundi kaum Cina lebih 50 peratus, kaum Melayu (30 peratus) dan selebihnya kaum lain.

PRK DUN itu diadakan pada 8 Sept ini, berikutan kematian penyandangnya Eddie Ng Tien Chie yang terlibat kemalangan jalan raya 20 Julai lepas dan ia menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Tan dengan calon Pakatan Harapan Wong Siew Ki.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.