Himpunan Melayu Bangkit, Kita Tidak Berpeluk Tubuh!

Pasir Salak, 2 Sept – Hampir sepuluh ribu rakyat berhimpun di pekan Kampung Gajah di sini malam tadi dalam Himpunan Melayu Bangkit, bagi menyatakan ekspresi kecintaan kepada agama, bangsa dan negara ini.

Kehadiran rakyat yang cintakan nusa bangsa itu menunjukkan sokongan kepada perjuangan parti tetap utuh walaupun dilanda badai selepas 9 Mei lalu, dengan bergema laungan Takbir, Hidup Melayu dan Daulat Tuanku.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa dalam ucapannya, amat teruja kerana himpunan tersebut telah menunjukkan semangat orang Melayu yang luar biasa dan bangga dengan pendirian ahli-ahli yang hadir, yang turut disertai ramai generasi muda.

Annuar melihat himpunan yang bermula di Pasir Salak itu sebagai pencetus kepada gelombang kebangkitan orang Melayu pasca pilihan raya umum ke-14 (PRU14) lalu kepada satu gelombang yang lebih kukuh dan jitu.

Tegasnya lagi, dengan memetik ayat-ayat suci al-Quran, Annuar mengingatkan kepada seluruh ahli supaya tetap berpegang teguh kepada tali Allah, yakni agama Islam dan jangan sekali-kali bertelagah.

Ahli Parlimen Ketereh itu turut mengatakan selama lebih enam dekad parti memerintah negara ini, tidak pernah sekali UMNO dan Barisan Nasional (BN) mengamalkan rasis, menekan kaum-kaum lain, sebagaimana tuduhan yang sering dilemparkan beberapa pihak yang kini telahpun menjadi kerajaan.

Katanya, semua kaum di negara ini mendapat hak yang sama baik dari segi mengamalkan budaya hidup, mendapat pendidikan hinggalah menikmati kemakmuran dan terbukti dengan jelas bukan kaum Melayu yang menjadi orang terkaya di negara ini.

Selain Annuar menyampaikan ucapan, turut sama berucap Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang juga Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, Ketua Pemuda UMNO Malaysia Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Lokman Noor Adam dan pelbagai lapisan pemimpin baik dari peringkat pusat, negeri hinggalah dari akar umbi.

Tajuddin dalam ucapannya berkata hari ini kedudukan orang Melayu semakin dicabar, wujud segelintir pihak yang telah mula mempertikaikan hak-hak keistimewaan orang Melayu seperti mengatakan orang Melayu pendatang.

Justeru katanya, orang Melayu tidak perlu lagi bersikap berdiam diri dan perlu bersama-sama mempertahakan perkara-perkara yang terkandung di dalam perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Himpunan tersebut juga penuh dengan ucapan-ucapan yang menaikkan semangat dan ruh perjuangan ahli dengan menyatakan sokongan dan mempertahankan hak orang Melayu, kedaulatan Raja-raja dan kesucian agama Islam. – Media UMNO.

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.