Senarai SST Masih Kabur, Yang Pasti Kuda Paling Atas Dikecualikan SST – Ahmad Maslan


KUALA LUMPUR, 29 Ogos – Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata penyenaraian Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang masih kabur dan bercelaru biarpun  hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi untuk dilaksanakan bakal mengundang risiko kepada pengguna di negara ini.

Menurut beliau apabila keadaan tersebut berlaku dikhuatiri terdapat mereka yang akan mengambil kesempatan terutama peniaga yang kurang beretika dengan sengaja menaikkan harga barang sedangkan keadaan adalah sebaliknya.

“Dalam laman web kastam ada yang saya lihat barang-barang yang dikecualikan. Tetapi senarai berkenaan terlalu panjang dan orang pun sukar untuk melihat satu persatu. Yang menariknya ia bermula dengan kuda… barang yang dikecualikan SST adalah bermula dengan kuda.

“Apabila kecelaruan ini berlaku maka akan ada penyalahgunaan. Kemungkinan nanti barang-barang sengaja dinaikkan sedangkan kemungkinan barang itu tidak ada SST tetapi oleh kerana senarai pengguna tidak faham dan tidak tahu inilah yang berlaku.

“Mereka dengan sengaja naikkan harga barang dan mereka kata sebab SST lah maka harga naik. Kerana itu kekaburan berkenaan perlu diselesaikan dalam sehari dua ini,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Berkuatkuasa 1 September ini Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) akan dilaksanakan bagi mengantikan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Subromaniam Tholasy berkata, pelaksanaan SST itu adalah susulan Rang Undang-Undang (RUU) Cukai Jualan 2018 dan RUU Cukai Perkhidmatan 2018 telah diluluskan Parlimen pada 20 Ogos lalu.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Maslan melihat peniaga yang kurang beretika menyebabkan sesuatu barang mengalami kenaikan mahu pun penurunan.

“Mana ada harga barang yang degil. Yang degil ialah peniaga…yang degil ialah manusia. Kedegilan itu berpunca daripada etika. Kalau kita belajar ilmu perniagaan ada satu pengajian tentang etika perniagaan.  Ini agaknya kurang di Malaysia, kurang mengamalkan etika perniagaan.

“Akibat daripada itu harga yang dituduh degil itu sebenarnya berpunca daripada peniaga yang degil. Jadi kita harap perkara ini diambil kira oleh KPDNHEP mudah-mudahan rakyat tidak jadi mangsa”, ujarnya.

Tegas beliau lagi perkara itu perlu diambil perhatian serius bagi mengelakkan rakyat terus menjadi mangsa.

“Janji 100 hari 10 janji tidak ditunaikan sepenuhnya. Rakyat jadi mangsa sepuluh kali…kemudiannya penipuan-penipuan dibatal GST dan ditambah dengan SST.  Itu pun rakyat jadi mangsa. Harga kelapa sawit turun tidak naik-naik rakyat menjadi mangsa…harga getah turun tidak naik-naik rakyat jadi mangsa…bantuan musim tengkujuh, bantuan untuk nelayan, bantuan untuk pesawah rakyat jadi mangsa.

“Jadi perkara begini membuktikan bahawa kerajaan yang ada sekarang adalah kerajaan yang tidak profesional, kerajaan yang sekarang ini kerajaan yang tidak ada harapan. Namanya sahaja pakatan harapan,” katanya. -MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.