Mana Janji? Razali Khuatir Zaman Suram Felda Akan Berulang


KUALA LUMPUR, 29 Ogos –  Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Razali Ibrahim meluahkan rasa khuatir Felda tidak lagi menjadi agenda utama kerajaan Pakatan Harapan (PH) hari ini berbanding apa yang dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) terhadap warga peneroka Felda sebelum ini.

Menurutnya, Felda sangat dekat dengan pentadbiran kerajaan BN sebelum ini di mana pelbagai insentif dan bantuan yang telah diberikan oleh kerajaan BN terhadap peneroka Felda.

“Ini dapat kita lihat apabila Hari Peneroka disambut secara besar-besaran. Tetapi di bawah pemerintahan kerajaan hari ini, kita dapat lihat tidak ada sambutan Hari Peneroka sepertimana sebelum ini.

“Saya khuatir, bukan sahaja kerajaan hari ini tidak melunaskan janji-janji mereka terhadap peneroka Felda, tetapi Felda kini sudah tidak menjadi agenda utama kepada kerajaan hari ini.

“Perkara ini memberikan kesan yang besar kerana terdapat 112 ribu keluarga peneroka, termasuk dengan hasil yang biasa memberikan sumbangan kepada kehidupan mereka dan kepada pendapatan negara, bakal terjejas.

“Politik, politik jugalah. Tetapi jangan kita persiakan kejayaan Felda yang diiktiraf di seluruh dunia. Tidak ada di tempat lain di dalam dunia yang ada model seperti Felda ini.

“Malah banyak negara termasuk Indonesia pernah datang ke negara kita untuk melihat bagaimana kita membangunkan Felda untuk dilaksanakan di negara mereka,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel dalam diskusi ‘100 Hari PH Tipu’ dengan tajuk ‘Felda: Mana Janji?’ yang bersiaran secara langsung melalui medium facebook rasmi UMNO Online malam tadi.

Beliau seterusnya berharap agar Felda tidak mengalami semula zaman suram yang pernah berlaku di bawah pentadbiran Tun Mahathir ketika menjadi Perdana Menteri Keempat, di mana sektor komoditi seperti Felda tidak diberikan perhatian yang sewajarnya.

“Sebab itu saya menyatakan kerisauan kerana nampaknya jalan cerita dalam pentadbiran kerajaan hari ini lebih kurang sama sepertimana pada masa pentadbiran perdana menteri yang keempat sebelum ini.

“Pada zaman pentadbiran perdana menteri keempat dulu, Felda tidak pernah mendapat bantuan kerajaan. Segala pembangunan infrastruktur di dalam Felda itu dibangunkan dengan menggunakan hasil pendapatan dari perniagaan mereka. Perkara ini mungkin ramai yang tidak tahu.

“Hanya di zaman pemerintahan Pak Lah (Tun Abdullah) dan Datuk Seri Najib, kerajaan telah memberikan Felda satu peruntukan tetap untuk pembinaan jalan raya, paip air yang mana memang menjadi tanggungjawab kerajaan untuk membinanya. Dan banyak inisiatif-inisiatif yang diwujudkan oleh kerajaan BN sebelum ini untuk membantu warga peneroka Felda ini,” jelasnya.

Justeru, beliau yakin bahawa peneroka Felda boleh menilai sendiri bagaimana komitmen kerajaan BN sebelum ini untuk membantu warga peneroka Felda dengan pelbagai inisiatif yang diwujudkan, di mana hampir satu bilion diberikan kepada peneroka Felda selama lima tahun hanya bermula di dalam Rancangan Malaysia Ke-11.

“Semenjak dari tahun 90-an, Felda tidak pernah menerima sebarang peruntukan atau bantuan daripada kerajaan persekutuan dan peruntukan serta bantuan itu hanya mula diterima pada Rancangan Malaysia Ke-10 dan Ke-11.

“Jadi, saya yakin peneroka boleh menilai, bagaimana Felda itu diangkat kembali, di mana selepas zaman kegemilangan, kemudiannya sedikit diketepikan dan hari ini, di bawah kerajaan BN sebelum ini ditingkatkan kembali nama Felda itu sendiri.

“Saya berharap agar Felda tidak melalui semula zaman suram sebelum ini kerana jika ini berlaku, maka pendapatan kepada negara akan terjejas dan apa yang lebih penting, nasib peneroka Felda itu sendiri akan turut terjejas,” tegasnya.-MediaUMNO

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.