Bersih 2.0 Perlu Bersihkan Diri Dari Terus Jadi Alat Pakatan Harapan


KUALA LUMPUR, 29 Ogos – Pemantau Malaysia Baru menyelar Bersih 2.0 yang sering bertindak berat sebelah berhubung perkara-perkara yang berkaitan proses pilihan raya di negara ini.

Menurut Presidennya, Datuk Lokman Noor Adam, ini jelas kelihatan dengan tindakan Pemangku Pengerusi Bersih 2.0, Shahrul Aman yang dilaporkan telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan juga kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap Datuk Seri Najib Razak.

“Mereka menuduh bahawa Datuk Seri Najib telah melakukan kesalahan di bawah akta SPR kerana beliau telah membuat satu posting di dalam laman facebooknya pada pukul 7 pagi hari membuang undi pilihan raya kecil (PRK) Sungai Kandis baru-baru ini dan mendakwa ia satu kesalahan.

“Pegawai program Bersih 2.0 Lee Chun Lun minggu lepas telah mengeluarkan kenyataan bahawa calon Pakatan Harapan (PH) Zawawi Mughni juga telah banyak melakukan kesalahan di bawah akta SPR yang sama.

“Antara kesalahan PH yang diberi oleh Bersih 2.0 termasuk pemberian penukaran minyak hitam motosikal percuma, pemeriksaan kesihatan percuma dan ubatan percuma serta menyalah guna aset kerajaan dan berkempen dalam acara sekolah serta kerajaan,” tegas Lokman dalam satu kenyataan medianya di sini, hari ini.

Tambah Lokman lagi, Bersih juga menuduh bahawa beberapa menteri PH didapati menggunakan kereta rasmi kerajaan untuk pergi ke pusat penamaan calon pada hari pengundian dan mengatakan ia juga telah melanggar peraturan pilihan raya.

“Yang saya pelik ialah mengapa Bersih 2.0 hanya membuat laporan terhadap Datuk Seri Najib yang bukan calon PRK pun?

“Tetapi langsung tidak membuat sebarang laporan terhadap calon dan pemimpin-pemimpin PH lain yang Bersih sendiri dakwa telah melanggar undang-undang?,” soal Lokman, yang juga merupakan bekas Calon Barisan Nasional dalam PRK Dewan Undangan Negeri Sungai Kandis itu.

Justeru ujar Lokman lagi, untuk membuktikan bahawa Bersih 2.0 ialah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang tidak berat sebelah dan bukan alat badan politik, mereka harus membuat laporan polis terhadap PH yang melanggar undang-undang SPR dengan lebih serius.

“Saya memberi masa tiga hari kepada Bersih 2.0 untuk berbuat demikian bagi ‘membersihkan’ nama dan integriti mereka.

“Selepas tiga hari, jika Bersih masih tidak bersih, Pemantau Malaysia Baru akan menolong Bersih untuk membuat laporan-laporan terhadap PH,” tegasnya. – UMNO Online.

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.