Najib Cabar Tubuh RCI, Tun M ‘Pengecut’? – Puad

KUALA LUMPUR, 28 Ogos – Cabaran bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak agar kerajaan Pakatan Harapan (PH) menubuhkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) terhadap segala dakwaan PH berlaku penyelewengan ketika zaman pentadbirannya adalah bukan satu cabaran yang kecil dan boleh dipandang ringan, jelas Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.

Menurutnya, empat isu besar yang sering didendangkan oleh Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad (Tun M) dan Menteri Kewangan Lim Guan Eng adalah seperti isu kehilangan RM18 bilion wang cukai barangan dan perkhidmatan (GST), mencuri RM16 bilion kutipan cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang tidak dipulangkan, pembatalan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan pembatalan pemasangan ‘pipeline’ gas di Sabah (TSGP).

“Lim Guan Eng menggunakan imuniti Parlimen untuk membuat tuduhan kononnya RM18 bilion wang GST hilang. Dia juga mendakwa RM16 bilion wang hasil cukai LHDN yang terlebih bayar hilang dan tidak dipulangkan kepada pembayar cukai.

“Tetapi Guan Eng pengecut kerana langsung tidak membuat laporan polis, SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) atau mengambil tindakan mahkamah.

“Tun M pula membuat berbagai tuduhan kenapa projek ECRL dibatalkan. Konon harganya mahal, kadar faedah pinjaman adalah tinggi, berlaku rasuah kerana Kerajaan BN (Barisan Nasional) minta komisyen 30%, tidak ada ‘exit’ klausa dalam perjanjian dan projek ini tidak berfaedah kepada rakyat,” kata Puad dalam entri terbaharu di dalam facebooknya, hari ini.

Ujar Puad lagi, ini jelas berbeza selama 22 tahun pemerintahan autokratiknya Tun M tidak pernah meminta RCI ditubuhkan untuk menyiasat tuduhan terhadapnya.

“Beliau dituduh mengamalkan nepotisme, kekayaan luar biasa anaknya, ‘bailout’ syarikat kroni dan perjanjian berat sebelah yang melibatkan syarikat kroninya. Contoh terbaik ialah perjanjian IPP (Penjana Tenaga Bebas). Perjanjian itu berat sebelah, TNB dipaksa membeli tenaga walaupun tidak diguna daripada syarikat kroni Tun M seperti YTL.

“Tan Sri Ani Arope meletak jawatan kerana perjanjian gila itu. Dalam buku memoirnya Tan Sri Ani mendakwa ‘black out’ seluruh negara tahun 1992 adalah disengajakan untuk membenarkan pembinaan IPP,” ujarnya lagi.

Sebaliknya Datuk Seri Najib secara berani dan ‘gentleman’ mencabar Tun M supaya tubuh RCI untuk menyiasat empat dakwaan terhadapnya, tambahnya.

“Kenapa takut? Apa jadi pada cadangan Lim Guan Eng supaya PAC (Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara) buat siasatan kedua terhadap isu 1MDB. Bukankah elok PAC itu digantikan dengan RCI sahaja. Genapkan kepada lima RCI,” tegasnya. – Media UMNO.

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.