Hishammuddin Sedia Disiasat Berhubung Khidmat Tiga Anggota ATM
KUALA LUMPUR, 27 Ogos – Bekas Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bersedia disiasat berhubung dakwaan tiga anggota pasukan khas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) masih berkhidmat dengannnya walaupun tidak lagi menjadi menteri.
Anggota Parlimen Sembrong itu berkata beliau tidak akan menegakkan benang yang basah jika benar wujud kesalahan malah mengalu-alukan sebarang siasatan dalaman yang ingin dilakukan ATM.
“Mereka ini macam keluarga saya tapi saya konsisten, kalau salah tetap salah. Saya mengalu-alukan board of inquiry,” katanya ringkas kepada Bernama melalui sistem pesanan WhatsApp semalam.
Semalam, Menteri Pertahanan Mohamad Sabu mengarahkan kementeriannya melakukan siasatan segera berhubung dakwaan tersebut dan tindakan akan dikenakan sekiranya terdapat pelanggaran peraturan sedia ada.
Mohamad mengulas laporan sebuah portal berita mengenai dua anggota Pasukan Khas Laut (Paskal) dan seorang komando masih menjadi pengiring Hishammuddin, yang tidak lagi memegang portfolio itu berikutan kekalahan BN pada Pilihan Raya Umum ke-14, Mei lepas.
Menurut laporan portal berita itu, dua pegawai Paskal itu masih dalam perkhidmatan, yang masing-masing akan tamat pada 2020 dan 2021, manakala komando itu didakwa antara individu yang kelihatan dalam gambar yang dimuat naik Hishammuddin di laman Twitter beliau baru-baru ini.
Ketiga-tiga anggota itu juga didakwa masih menerima gaji daripada ATM selain daripada Hishammuddin sendiri.