Isu Royalti Minyak Dimanipulasi Hingga Timbulkan Kemarahan Rakyat Di Sabah, Sarawak – Dr Arnold

KUALA LUMPUR, 23 Ogos – Dr Arnold Puyok, Senior Fellow, Social Empowerment and Empowerment Development of Sabah (SEEDS) berkata, ahli-ahli politik di Sabah dan Sarawak banyak memainkan isu-isu royalti minyak sehingga akhirnya menimbulkan kemarahan rakyat terhadap kerajaan persekutuan.

Bagaimanapun kata beliau, isu-isu yang dimainkan oleh ahli-ahli politik berkenaan isu royalti ini hanyalah separuh benar dan mereka tidak menjelaskan perkara yang sepenuhnya kepada rakyat berhubung isu pembahagian royalti minyak ini.

“Menjadi satu kerisauan saya, ahli-ahli politik dari Sabah dan Sarawak seringkali memainkan isu royalti minyak ini sehingga menimbulkan kemarahan rakyat Sabah dan Sarawak kepada kerajaan persekutuan.

“Contohnya apa yang selalu kita dengar ialah hanya 5 peratus daripada hasil royalti minyak diberikan kepada Sabah dan Sarawak, manakala 95 peratus lagi diambil semuanya oleh kerajaan persekutuan.

“Perkara ini tidak benar. Kalau kita lihat, 95 peratus itu bukan bulat-bulat diambil terus masuk ke kantung kerajaan persekutuan, tetapi kita juga harus melihat apa yang diambil oleh petronas, apa yang diambil sebagai cukai, kos-kos operasi dan sebagainya,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel dalam program Diskusi 100 Hari PH Tipu yang membawa tajuk  Sabah : Hanya Sekadar Janji.

Beliau menyatakan kerisauannya berhubung perkara itu kerana sentimen yang dimainkan oleh sesetengah ahli politik berhubung royalti minyak Sabah dan Sarawak ini tidak tepat sehingga menimbulkan kemarahan rakyat di kedua-dua negeri itu.

“Apa yang menjadi kerisauan saya ialah ahli-ahli politik tidak menjelaskan perkara ini kepada rakyat Sabah dan Sarawak. Kerana selama ini rakyat Sabah dan Sarawak fikir 95 peratus royalti minyak Sabah dan Sarawak diambil semua oleh kerajaan persekutuan untuk mengkayakan kerajaan persekutuan.

“Sikap kerajaan persekutuan itu dikatakan sebagai punca rakyat Sabah dan Sarawak menjadi miskin. Inilah yang seringkali dimainkan oleh ahli-ahli politik ini. Dan perkara ini tidak betul dan kita mesti memperbetulkan kenyataan yang telah menimbulkan persepsi negatif rakyat selama ini,” jelasnya.

Arnold turut menyentuh isu kemiskinan rakyat Sabah dan Sarawak yang dikaitkan dengan isu royalti minyak ini di mana kata beliau, memang ada rakyat di Sabah dan Sarawak yang miskin namun tahap kemiskinan itu tidaklah  begitu serius seperti yang digambarkan di dalam media-media sosial dan sebagainya.

“Sekiranya kita turun ke bawah, memang terdapat ramai rakyat Sabah dan Sarawak yang miskin, tetapi tidak seserius mana yang digambarkan oleh media-media sosial dan sebagainya.

“Saya juga pernah membuat tinjauan di Sepitang, terhadap penduduk minoriti, Lun Bawang di kawasan itu, saya melihat 90 peratus penduduk di Sepitang mempunyai tanah yang mempunyai geran. Mereka memiliki haiwan ternakan, mereka menanam sayur-sayuran.

“Bagi saya, mereka bukan miskin dari segi pemilikan aset, tetapi ia boleh dikategorikan miskin sekiranya dinilai daripada gaji bulanan. Bagi saya, kenyataan ini harus kita perbetulkan juga. Ini kerana di media-media sosial, Sabah dan Sarawak digambarkan sebuah negara yang amat miskin, sehingga nak makan pun tak mampu. Ini tidak betul dan ia mesti diperbetulkan,” tegasnya.-MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.