Pemuda UMNO Bantah Penganjuran Pesta Gay KL

KUALA LUMPUR, 21 Ogos – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Nibong Tebal Mohd Norhiesam Ismail mendesak agar kerajaan baru pimpinan Pakatan Harapan (PH) menyiasat penganjuran parti Gay terbesar yang dikatakan bakal diadakan pada 30 Ogos hingga 1 September ini, di ibu negara.

Jelas beliau, Pemuda UMNO menentang sekeras-kerasnya dan membantah penganjuran parti gay ini kerana ia bertentangan dengan ajaran Islam yang merupakan agama rasmi negara ini.

“Satu tindakan segera perlu diambil bagi memastikan pergerakan kumpulan yang ingin menganjurkan pesta ini disekat dan diambil tindakan sewajarnya.

“Mengikut maklumat, penganjuran pesta gay tahunan terbesar yang dikenali sebagai ‘Parti Resurrection 2018’ ini dikatakan bakal diadakan di Kuala Lumpur pada penghujung bulan ini.

“Seharusnya, bulan Ogos adalah bulan menyemarakkan semangat kemerdekaan negara tetapi pesta Gay ini ternyata mencacatkan nilai patriotisme yang seharusnya kita semai di kalangan anak muda masa kini. Sepatutnya lebih banyak program pemahaman dan kecintaan kepada negara sempena kemerdekaan disuntik kepada masyarakat perlu digerakkan dan bukannya dengan mengadakan pesta gay ini,” ujar beliau dalam satu kenyataan media.

Tegas Norhiesam, dimanakah imej negara sebagai sebuah negara Islam apabila penganjuran Pesta Gay ini dilaksanakan disini.

“Sekiranya ini berlaku jelas menunjukkan bahawa kerajaan baru PH telah ‘menghalalkan’ lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) untuk melakukan apa sahaja tanpa batasan di negara ini. Ini juga membuktikan kerajaan PH telah mengiktiraf golongan ini.

“Justeru, kami juga ingin memohon agar kerajaan menyatakan pendirian jelas dan konsisten kepada umum tentang Pesta Gay ini. Begitu juga dengan isu besar LGBT, yang menampakkan kerajaan tidak teguh dan seperti bermain tarik tali dengan komuniti ini. Adakah Kerajaan PH mempunyai perjanjian dan agenda sulit dengan komuniti ini bagi membantu kemenangan PH dalam PRU 14 baru-baru ini?

“Sekali lagi sebagai umat Islam yang berpegang teguh kepada kalimah ‘amar maaruf nahi munkar’ dan sebagai rakyat Malaysia yang merdeka, kami sesekali tidak akan berkompromi dengan budaya songsang ini,” ulas beliau.

Untuk rekod, menurut laman sesawang ‘thegaypassport’, parti terbesar itu bakal menghimpunkan komuniti gay di seluruh dunia, antaranya dari Thailand, Taiwan, China, Jepun, Sepanyol dan Filipina.

Program anjuran DivineBliss itu mendapat liputan besar-besaran media antarabangsa seperti portal Element (Asia leading LGBT media network) dan The Gay Passport. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.