Pahang Peruntuk Lebih RM5 Juta Atasi Masalah Gangguan Air

KUANTAN, 20 Ogos – Kerajaan Pahang memperuntukkan lebih RM5 juta sebagai langkah segera mengatasi masalah gangguan bekalan air di Kuantan, yang terkesan ekoran musim kemarau ketika ini sejak beberapa minggu lepas .

Menurut kenyataan media Pejabat Menteri Besar Pahang, peruntukan itu bagi membaiki kebocoran pada ban berhampiran Rumah Pam Kobat dan menjalankan kerja-kerja pembenihan awan di ruang udara kawasan tadahan air yang berkenaan.

“Kedua-dua langkah ini dijangka dapat membantu dalam meningkatkan kandungan air di kawasan-kawasan berkenaan, seterusnya mengatasi gangguan bekalan air yang membabitkan 80,000 akaun di daerah ini,” menurut kenyataan itu yang diedarkan kepada media di sini, hari ini.

Menurut kenyataan itu, keputusan itu diambil susulan kepada lawatan kerja oleh Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail ke rumah pam berkenaan disusuli ke Loji Rawatan Air (LRA) Panching pada pagi semalam.

Sebelum ini Bernama pernah melaporkan masalah gangguan bekalan air yang dialami oleh 80,000 pemegang akaun di daerah ini berpunca daripada paras air di dua buah LRA utama di daerah ini iaitu LRA Panhcing dan LRA Semambu yang berkurangan disebabkan masalah kemarau.

Berikutan masalah itu Pengerusi, Jawatankuasa Kemudahan Asas, Penyampaian Awam dan Inovasi Negeri Datuk Norol Azali Sulaiman juga telah mengadakan lawatan ke LRA Panching bagi meninjau perkara berkenaan pada 14 Ogos lepas.

Masalah itu diburukkan lagi dengan ban yang dibina sebelum ini di muka sauk Kobat mengalami kebocoran menyebabkan air sungai di kawasan itu mengalir ke laut,

Untuk rekod ‘creek closure’ yang dibina untuk menghalang air sungai daripada terus ke laut pernah pecah pada musim banjir tahun lepas, namun selepas itu kerajaan negeri telah membina ban sementara di tempat berkenaan bagi mengatasi masalah itu, namun didapati masih terdapat pengaliran air di kawasan itu.

“Ban berhampiran Rumah Pam Kobat itu akan dibaiki dengan menggunakan kaedah ‘sheet pile’ yang lebih kukuh.

“Peruntukan yang digunakan akan disumbangkan oleh pemain-pemain utama industri di Kawasan Perindustrian Gebeng, sepertimana mereka persetujui pada pertemuan dengan pihak kerajaan negeri pagi tadi, manakala selebihnya akan ditanggung oleh kerajaan negeri bagi kerja-kerja pembenihan awan,” menurut kenyataan itu.

Antara yang hadir dalam pertemuan itu termasuk Kumpulan Sokongan Industri Gebeng (GISG) yang telah bersetuju membiayai peruntukan berkenaan sebagai memenuhi Tanggung jawab Sosial Korporat (CSR) mereka.

Hasil pertemuan itu juga satu Jawatankuasa Bertindak Bersama (JAC) telah ditubuhkan dan akan dianggotai oleh wakil daripada kerajaan negeri dan pemain industri berkenaan.

JAC akan berperanan menjadi perantaraan bagi kedua-dua pihak untuk berbincang secara langsung mengenai apa juga perkara yang melibatkan kepentingan kedua-duanya.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.