Jawapan Balas Perutusan Khas Perdana Menteri Pasca 100 Hari

Sesungguhnya Allah SWT punya 99 nama. 100 kurang 1” Dari rampai hadis inilah simbolik angka 100 menjadi makna besar dalam masyarakat kita. Dari lensa Ilmu hisab ; formula 100 sebagai markah penuh @ 100%. Dalam realiti umat Islam, ada amalan kenduri arwah 100 hari, zikir pun ada 100 kali. Manakala dalam politik, 100 hari juga sinonim untuk meraikan jeda kejayaan dalam tempoh awal pentadbiran di mana-mana negara hatta di negara maju. Sebab itu kerajaan PH meletakkan 10 janji PH dalam 100 hari. Serba ada makna.

Ramai yang bertalu bertanyakan kepada saya. Apa analisis tuan tentang pencapaian kerajaan PH ? Saya diam. Cuma memerhati pemain media sosial beraksi. Sejauh mana kesannya. Ada yang logik. Ada juga yang “cliche”. PH gagal ! Gagal. Soalnya adakah hasutan kegagalan ini enak diterima oleh rakyat. Atau rakyat masih memberi masa tambahan kepada PH.

Setelah saya mendengar sendiri di kaca televisyen keseluruhan ucapan Tun M malam tadi. Saya terpanggil untuk melihat pro and ‘contra’nya.

Pertama, Tun M selaku PM secara jujur dan terbuka mengakui setakat 100 hari ini hanya 35 peratus janji berjaya ditunaikan. Rakyat suka pada pemimpin yang jujur. Walaubagaimana pun, kenyataan ini akan mencorak persepsi. Jawapan A ; Baru 100 hari sudah 21 janji tertunai. Atau jawapan B ; dalam tempoh 100 hari yang dijanjikan, PH hanya mampu tunaikan 21 janji (35 peratus sahaja). Anda ingin pilih yang mana ?

Anda dari parti mana. Silalah memilih ikut warna cermin mata anda. Pakai cermin mata hitam, semuakan nampak hitam. Tambahan lagi kalau sudah pilih mata, memang matalah jawabnya. Sampai boleh lupalah berapa markah atau “mata” yang kerajaan PH score! Semua tertunai. TUNAI !

Sebenarnya saya lebih suka untuk membahaskan ucapan Perdana Menteri sendiri sempena janji 100 hari ini. Lidahnya adalah polisi rasmi negara. Ia adalah Official Statement.

Kita telaah satu persatu. Saya akan kongsikan. Isu pertukaran GST kepada SST. Saya boleh menerima alasan rasmi kerajaan PH mereka memerlukan masa tambahan kerana ia melibatkan pembentangan di Parlimen. Namun, saya amat terperanjat kerajaan PH mengambil kredit dalam jeda masa transisi dari GST kepada SST ini kononnya rakyat sedang merasai penurunan harga kereta dan barangan kerana “tiada cukai” yang dikenakan. CHEAP !

Ini tidak wajar. Sebab ia hanya kesan sementara. Sekarang rakyat sedang bimbang dengan amalan SST sebanyak 16 peratus. Menyebabkan lonjakan harga barangan. Menteri PH juga sudah mengeluarkan kenyataan harga barang akan naik. Sehingga terdesak meminta pengguna suarakan ‘kuasa beli’ mereka. Meminta pula orang kampung Mak Esah tanam sayur tepi longkang rumah. Saya amat kecewa kerana melepaskan tanggungjawab kepada rakyat kembali. Rakyat pilih PH untuk menyelesaikan masalah ini.

Apa yang saya nantikan PM memberi jaminan bahawa harga akan kembali asal seperti sebelum GST. Harga jadi murah. Bawa RM 50 boleh penuh 1 troli. Duit RM 50 boleh rasa seperti nilainya 50 kerana era zaman BN ; ada yang kata macam RM 1 saja. Tetapi tidak masuk pula ke tabung masjid RM 50 tue.

Sebab itulah rakyat undi PH. Hendak harga jadi turun seperti buah “tomata”. Tetapi sayang pasca 100 hari tiada JAMINAN lagi. Apakah kesudahannya ? Adakah peniaga akan dikambing hitamkan ? Tunggu.

Kedua, kerajaan PH berbangga dengan harga petrol dikekalkan sama seperti kerajaan BN iaitu pada kadar RON 95 RM 2.20. Untuk makluman, pada ketika ini harga minyak dunia melonjak pada paras 1 barrel 75 USD. Bagi PH mereka sudah mengeluarkn subsidi yang lebih besar untuk kekalkan harga paras sekarang. Ini betul. Kerana pada zaman BN dahulu harga minyak dunia jatuh pada 1 barrel 45 USD.

Tetapi jika kita fikir semula, Malaysia adalah negara pengeluar minyak. Negara akan memperoleh untung yang lebih besar apabila minyak dunia menokok. Keuntungan inilah yang sepatutnya disalurkan lebih besar pada subsidi minyak. Tetapi kerajaan PH mengambil kesempatan kerana rakyat sudah berdiam dan selesa pada harga RM 2.20 seliter. Walhal PH boleh menurunkan sehingga RM 2.10 seliter. Tetapi buat apa ? Rakyat boleh terima. Sebab itu pengguna harus terus menekan kerajaan PH. Negara sedang mendapat laba besar melalui kenaikkan harga minyak dunia. Rakyat layak dapat harga minyak lebih murah dari RM 2.20.

Ketiga, saya ingin mengulas skim KWSP bagi suri rumah bermula pada 15 Ogos 2018. Ia berjaya dilaksanakan. Tetapi bagi hemat saya ia adalah satu perkara dan polisi yang mudah. Simpanan memang sudah ada. Tidak perlu cari dana dan melibatkan kos. Cuma tukar dan tambah baik polisi. Janji ini mudah ditunaikan oleh sesiapa sahaja. Bukan tahap seorang Timbalan Perdana Menteri Malaysia.

Keempat, bab projek mega memang sah MRT fasa 3 dibatalkan pada 30 Mei 2018. Ini saya pelik. Jajaran MRT dari Sungai Buloh ke Kajang memberi kemudahan kepada masyarakat urban. Majoriti kaum cina. MRT ini kerajaan BN yang laksanakan. Tapi pengundi bandar tetap menolak BN. Sebaliknya Kerajaan PH yang mereka undi pula yang membatalkan projek fasa ke 3 ini. Pendek kata, adakah ini hadiah kerajaan PH kepada pengundi bandar. MRT lah yang dapat menyelesaikan masalah kesesakan bandar dan kos tol dalam city center. Sementara bagi projek mega yang lain sepeti ECRL dan HSR akan ditangguhkan. Tapi saya percaya ia akan disambung semula malah diberikan kepada pemodal baru mesra PH. Ini akan menjejaskan integriti mereka. Tengok sahajalah SUPOL Menteri Pertahanan, baru lepas angkat sumpah, sekelip mata hutang di Insolvensi dibayar penuh oleh perasuah. Apakah kriterian Menteri PH melantikan ‘first circle’ mereka?

Kelima, menyamaratakan gaji minimum. Ini memerlukan masa 5 tahun lagi. Tetapi mesti ingat Perdana Menteri ke 7 telah menyatakan gaji yang rendah menggalakkan pelabur terus menanam modal di Malaysia. Anda semua boleh menyimpulkannya. Tidak perlu saya mengulas panjang lebar.

Keenam, skim peduli sihat di klinik swasta. Bunyinya agak ranum. Memberi peluang kepada rakyat nikmati perkhidmatan lebih baik. Tetapi apa hal pula Menteri Kesihatan sudah uar-uarkan tidak lagi bayaran RM 1 di hospital kerajaan. Rakyat perlu beli insuran. Ini yang rakyat bimbang. Apa nasib Pak Meon yang kaki sudah tinggal sebelah duduk di Ulu Tembeling sebatang kara ? Apa nasib mereka ?

Ketujuh, pinjaman PTPTN. Tun M menjelaskan bahawa kerajaan PH telah memansuhkan senarai hitam setakat 8 Jun 2018 melibatkan 51,272 orang. Apakah polisi yang digelapkan. Untuk makluman, ia sekadar bebas dari senarai hitam di luar negara di bawah kuasa Imigresen, bukannya dari CCRIS dan seumpamanya. Ada anak muda mengeluarkan duit dari kad kredit untuk membayar hutang PTPTN semata untuk keluar negara sebelum ini ! Sila lihat perkara ini secara holistik. Menteri PH, Syed Saddiq perlu telusuri perkara ini semula. Ada anak muda sudah bangkrap di awal 30 an. Kena CCRIS, mereka tidak boleh buat pinjaman rumah, kereta dan pinjaman peribadi untuk pernikahan.

Kelapan, saya akui ada beberapa perkara yang berjaya ditunaikan secara total oleh kerajaan PH. Kita tidak boleh menafikan. Misalnya, pembebasan DS Anwar Ibrahim. Ini mesti ditunaikan, kalau tidak perang besar dalam PH akan berlaku. Kemudian perlantikan Ronald Kiandee sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira. Bagi saya ia sekadar syarat saja untuk memberi ruang kononnya kepada Pembangkang. Patutnya lantik yang lebih wibawa dalam PH. Mana janji PH untuk mengiktiraf Ketua Pembangkang setaraf Menteri ?

Paling bermotif politik ialah kes 1 MDB tidak lagi dibawah Akta Rahsia Rasmi. Ini saya lihat ada motif kesumat. Supaya semua orang tahu. Jika boleh satu dunia tahu. Seperti tindakan membenarkan semua media termasuk paparazi memasuki Kapal Equinity. Ada motif. Sedangkan janji mereka ia akan disiasat dalam satu Suruhanjaya Diraja.

Kesimpulannya, semua yang PH laksanakan sebahagiannya adalah untuk kepentingan mereka. Yang belum terlaksana ibarat sedang mencari alasan dan rencana misalnya “hutang negara terlalu tinggi, menyebabkan kesukaran untuk menunaikan janji manifesto”, “manifesto bukan kitab suci” dan paling win “pembuat manifesto tidak membuat kajian ketika menawarkan janji tersebut kepada rakyat”

Oleh itu, untuk masyarakat Malaysia baru, kita harus sedar selepas ini bahawa manifesto adalah sebagai iklan parti. Setelah kita pilih, mereka berhak kerana mereka ada kuasa untuk menunaikan atau sebaliknya. Tapi itu tidak berapa penting. Yang penting, benarkah rakyat tidak kisah akan komitmen janji PH ini, mereka hanya mahu BN terduduk sahaja? Yang memekik ini hanya ulat-ulat UMNO? Bagi saya tidak mengapa : biarlah UMNO mewakili suara rakyat. Percayalah UMNO harus merintis menekan PH untuk menunaikan janji. Rakyat sedang memerhati. “i am watching you!”

Akhir kata, saya berharap tulisan saya ini dianggap sebagai menyahut seruan Perdana Menteri sendiri bahawa kerajaan baru sedia dan terbuka malah menggalakkan kritikan demi kesejahteraan negara.

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.