Kerajaan ‘Kakistocracy’ Bukan Sekadar Gelaran,Tapi Realiti Yang Patut Dibimbangi Rakyat

KUALA LUMPUR, 17 Ogos – Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin menyifatkan barisan kepimpinan dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) masih belum bersedia menjadi pemerintah memandangkan sebahagian besar daripada menteri-menteri mereka tidak tahu sistem pemerintahan itu sendiri.

Katanya, memang selayaknyalah kerajaan PH hari ini digelar sebagai sebuah kerajaan ‘Kakistocracy’ yang membawa maksud sebuah sistem kerajaan yang ditadbir oleh satu golongan kepimpinan yang tidak tahu untuk berbuat apa-apa yang selayaknya dilakukan sebagai seorang pemerintah.

“Sudah genaplah tempoh 100 hari pada 18 Ogos ini untuk kerajaan PH melaksanakan segala janji-janji 100 hari mereka kepada rakyat sepertimana kempen PH pada PRU ke 14 yang lalu. Mereka ada beratus-ratus janji terhadap rakyat, tetapi apa yang saya lihat pencapaian mereka dalam tempoh 100 hari ini, cuma 20 peratus daripada janji mereka dapat dilaksanakan.

“Sememangnya saya sendiri merasa ragu-ragu akan kemampuan barisan kepimpinan PH  dan saya dengan jelas memberitahu perkara tersebut di dalam ucapan dasar saya di Parlimen baru-baru ini ini. Saya katakan dengan tegas, bahawa barisan kepimpinan PH tidak bersedia untuk jadi pemerintah. Mereka bersedia untuk jadi pembangkang, tetapi bukan pemerintah.

“Sebab itu saya berpandangan, memang tepatlah ungkapan ‘Kakistocracy’ ini diberikan kepada kerajaan PH hari ini disebabkan sebahagian besar menteri-menteri PH ini tidak tahu melaksanakan sistem pemerintahan itu sendiri, dan perkara ini mengakibatkan rakyat di bawah ternanti-nanti segala apa yang dijanjikan oleh barisan kepimpinan PH pada PRU ke-14 sebelum ini,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel dalam program Diskusi Dari Parlimen yang disiarkan secara langsung melalui medium facebook rasmi UMNO Online semalam di mana turut menjemput Exco Pemuda UMNO Malaysia, Muhammad Farhan Khairuddin sebagai moderator.

Jelas Bung Mokhtar, barisan kepimpinan PH dapat memerintah bukanlah berdasarkan merit kepakaran dan pengalaman pemerintahan yang ada pada mereka tetapi ia adalah kerana rakyat terpengaruh dengan segala janji-janji dalam manifesto pilihan raya lalu.

“Sebab itu kalau kita lihat di dewan rakyat, kenyataan pemimpin PH saling bercanggah, tidak synchronize. Masing-masing dengan pandangan dan pendapat masing-masing. Akhirnya mereka mengambil keputusan di luar jangkaan yang bukan dililhamkan secara bersama, tetapi mengikut kehendak masing-masing.

“Ini menimbulkan keraguan sekaligus kebimbangan. Ambil contoh bagaimana Menteri Kewangan yang diberi amanah untuk menjaga ekonomi negara kerap melakukan kesilapan-kesilapan yang tidak sepatutnya dilakukan, bayangkan bagaimana kerisauan rakyat terhadap perkara itu.

“Sebab itu saya tegaskan, kita perlu terima hakikat bahawa kerajaan yang sedia ada hari ini adalah sebuah kerajaan yang ‘Kakistocracy’, di mana mereka tidak mempunyai persediaan dan pengalaman untuk memerintah negara ini, bahkan tidak ada kepakaran sekalipun.

“Sudah tentulah apabila negara ditadbir oleh barisan yang tidak mempunyai persediaan dan kepakaran, kita sebagai rakyat sepatutnya merasa bimbang dengan perkembangan itu kerana rakyat sendiri akan menjadi mangsa sekiranya mereka berterusan gagal mentadbir negara dengan baik,” tegasnya lagi.-MediaUMNO

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.