Keluar Kata Kesat : Bung Mokhtar Persoal Tindakan Dirujuk Ke Jawatankuasa Khas Parlimen

KUALA LUMPUR, 16 Ogos – Datuk Seri Bung Moktar Radin menyifatkan usul mencadangkan beliau dirujukkan kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana mengeluarkan kata-kata kesat sebagai bertentangan dengan keputusan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat.

Anggota Parlimen Kinabatangan itu berkata ini kerana Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Datuk Mohd Rashid Hasnon yang bertugas ketika kejadian itu telah pun meminta beliau meminta maaf dan meneruskan persidangan.

“Saya berasa sangat janggal kerana kerajaan Pakatan Harapan sendiri tidak mengiktiraf keputusan Speaker, kerajaan ini dilihat seolah-olah nak ‘overruled’ (melanggar perintah) Speaker ketika itu.

“Speaker telah minta saya minta maaf dan saya dengan ikhlas telah memohon maaf dan menarik balik kenyataan saya itu, tetapi hari ini ada pula usul ini,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Mengikut Aturan Mesyuarat dan Usul-Usul Dewan Rakyat hari ini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin akan mencadangkan Bung Mokhtar dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan atas perbuatan yang dianggap menghina Majlis.

Bung Moktar dilapor mengeluarkan kata-kata kesat itu pada seorang Anggota Parlimen Pakatan Harapan (PH) pada persidangan Dewan Rakyat 7 Ogos lepas.

Sementara itu, Bung Moktar meminta Speaker Dewan Rakyat supaya bertindak lebih tegas dalam menentukan hala tuju perjalanan dewan tanpa membiarkan pihak kerajaan atau pembangkang melangkaui kuasa mereka.

“Ini juga tidak adil untuk saya kerana ramai lagi anggota Parlimen lain yang keluarkan kata-kata tidak sopan tetapi tidak diambil tindakan,” katanya.