“BN Curi RM19.4 Billion?… Ini Penjelasan Johari

KUALA LUMPUR, 14 Ogos – Bekas Menteri Kewangan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, Tabung Amanah sememangnya tidak ada duit di dalamnya kerana pihak kerajaan telah menghentikan kutipan GST selama tiga bulan, di mana tidak ada sebarang pembayaran balik GST yang akan dilakukan selama tiga bulan ini.

Menurut Johari, duit daripada Consolidated Revenue Account hanya akan dimasukkan ke dalam akaun Tabung Amanah itu adalah bertujuan untuk pembayaran balik GST kepada para peniaga yang membuat tuntutan (GST Input Claim).

“Jika kerajaan atau Menteri kewangan mendakwa tidak ada duit di dalam Tabung Amanah itu, ini adalah disebabkan tiga bulan kerajaan tidak buat kutipan GST. Memanglah tidak ada duit di dalamnya kerana selama tiga bulan tidak ada bayaran balik GST yang mahu dibayar, kerana tidak ada kutipan GST.

“Walaupun GST telah dimansuhkan, tetapi claim daripada Input Tax Credit tetap ada untuk menuntut  bayaran balik GST, kerana ada kes-kes tuntutan yang melibatkan masa yang panjang untuk disahkan. Ini bermakna, ada tuntutan yang masih belum selesai walaupun telah bertukar kerajaan.

“Ada sesetengah kes sehingga sampai lapan bulan, ada yang lebih dan sebagainya. Ketika saya menjadi Menteri, apabila mendapat aduan daripada peniaga claim mereka lambat sehingga berbulan-bulan, saya akan bertemu dengan pihak Kastam untuk mendapatkan penjelasan.

“Sebab itu, Input Claim tetap ada walaupun kerajaan baru telah mensifarkan GST selama tiga bulan dan sudah tentulah pihak kerajaan tidak ada duit untuk membayarnya kerana mereka tidak lagi mengutip GST sejak tiga bulan yang lalu,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel dalam program Diskusi Dari Parlimen yang bertajuk ‘BN Curi RM19.4 Bilion?’, diadakan secara langsung melalui medium facebook rasmi, UMNO Online.

Bagaimanapun, beliau juga tidak bersetuju apabila Menteri Kewangan yang baru, Lim Guan Eng menjadi sasaran kritikan kerana menurut beliau, Guan Eng masih baru dan mungkin tidak tahu akan perkara ini.

“Perkara ini terlalu teknikal. Orang ramai, atau Menteri sendiri kena faham proses kutipan GST ini. Sebab itu saya katakan dalam komen saya berkenaan isu ini, kita tidak boleh salahkan menteri dalam hal ini. Sebab dia baru dan mungkin dia tak berapa faham tentang proses ini.

“Yang paling penting sekali ialah pihak Kastam bersama kakitangan Kementerian Kewangan kenalah memberi penjelasan yang lengkap, duit itu masuk tiap-tiap bulan akaun pendapatan negara itu di mana mereka simpan. Ia mesti ada dalam akaun.

Johari menjelaskan, setiap duit yang dimasukkan ke dalam Akaun Amanah ini mesti dispesifikasikan, dengan penelitian serta pengesahan bahawa jumlah wang tersebut tepat sebagai bayaran balik GST yang perlu dibayar kepada peniaga.

Beliau berkata, wang yang dimasukkan ke dalam tabung amanah itu adalah jumlah yang tepat untuk membuat bayaran setelah ia diteliti dan disahkan oleh pihak Kastam.

“Bila ada wang yang mahu dimasukkan ke dalam tabung amanah, kita mesti tahu berapa jumlah yang tepat untuk semua tuntutan bayaran balik GST itu. Apabila ia sudah disahkan, dan diluluskan bahawa inilah jumlah tuntutan yang perlu dibayar, barulah duit itu dimasukkan ke dalam tabung amanah.

“Ketepatan jumlah wang untuk dimasukkan ke dalam akaun amanah untuk membayar pulangan balik GST, mestilah dibuat supaya tidak ada peniaga yang boleh membuat tuntutan sesuka hati,” jelasnya.

Johari  juga mencadangkan kepada kerajaan, sekiranya duit di dalam tabung Amanah sudah tidak mencukupi, maka pihak kerajaan boleh mengambil duit yang ada di dalam Consilidated Revenue Account kerajaan.

“Semasa saya menjadi Menteri Kewangan II dulu, pada bila-bila masa, kerajaan akan meletakkan sejumlah RM18-RM20 bilion dalam akaun simpanan tetap. Memang jumlah tersebut sentiasa ada di dalam akaun simpanan tetap kerajaan berbentuk tunai.

“Jika kerajaan hari ini mengatakan bahawa akaun amanah sudah berkurangan atau tidak ada wang, maka mereka boleh mengambil wang simpanan tetap kerajaan itu untuk dimasukkan ke dalam akaun amanah tersebut. Sebab duit itu juga datang daripada hasil cukai GST.

“Ada juga kemungkinan, ini tidak dilakukan oleh kerajaan kerana mereka telah menggunakan duit di dalam akaun simpanan tetap itu untuk membayar gaji kakitangan awam dan lain-lain kerana kerajaan hari ini sudah hilang berbilion pendapatan kerana pemansuhan GST selama tiga bulan ini. Ini kemungkinan besar yang boleh berlaku,”ujarnya.-MediaUMNO

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.