Kerajaan PH Perlu Jawab Tuduhan Konspirasi Tun Mahathir, Daim Halang Anwar Jadi PM

KUALA LUNMPUR, 13 Ogos – Ahli Parlimen Ketereh Tan Sri Anuar Musa berkata, Kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) perlu menjawab pertuduhan yang dilemparkan oleh Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid mengenai konspirasi untuk menggagalkan pemindahan kuasa kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Jelas beliau, tuduhan ini adalah sesuatu yang serius kerana ia melibatkan Pengerusi Penasihat Kerajaan PH, Tun Daim Zainuddin dan juga Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Apa yang disebutkan oleh Ahli Parlimen Kapar bukan sekali, beliau membuat tuduhan secara jelas dan nyata bahawa Perdana Menteri berkonspirasi dengan Pengerusi Penasihat Kerajaan dengan menyokong Gombak (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) bagi menghalang terlaksananya satu daripada janji utama PH iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengambil alih tugas sebagai Perdana Menteri sehingga mereka terpaksa menjalankan kempen menjatuhkan Gombak dan digantikan dengan bekas ahli Parlimen Pandan iaitu Rafizi Ramli.

“Adakah ini bukan sesuatu perkara yang serius? Konspirasi? Tetapi yang paling memeranjatkan adalah ia melibatkan Penasihat Kerajaan iaitu Tun Daim. Ini bukan lagi secara berselindung tetapi secara ‘direct’.

“Sebab itu saya menyebut dalam Parlimen kerana kerajaan harus sekurang-kurangnya memberikan penjelasan kalau nak nafikan, nafikan dan apa tindakan yang harus diambil kepada Kapar yang telah membuat tuduhan itu berkali-kali,” jelas beliau kepada media di lobi Parlimen.

Tambah Anuar yang juga merupakan Setiausaha Agung UMNO, perkara ini dibangkitkan kerana ia akan membawa negara kepada keadaan ketidakstabilan politik ataupun krisis yang akan menyulitkan agenda-agenda rakyat.

Sebelum itu semasa membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) 2018, di Dewan Rakyat, Annuar turut berkata, tuduhan yang dibuat oleh Kapar ini bukan tuduhan yang dibuat oleh orang kecil tetapi ia dibuat oleh Ahli Dewan dan melibatkan kedudukan Ahli Parlimen Gombak sendiri yang diberi kepercayaan untuk menerajui kementerian baru iaitu Kementerian Hal Ehwal Ekonomi yang memerlukan peruntukan yang besar.

“Dan Yang Berhormat Gombak sekarang ini menghadapi tuduhan oleh kerajaan sendiri yang beliau adalah terlibat dalam menggagalkan rancangan PH dan janji-janji yang telah dibuat oleh PH.

“Kementerian yang dibentuk akan diberikan sejumlah peruntukan yang cukup besar di bawah kementerian Hal Ehwal Ekonomi, RM1.28 bilion. Bagaimana mungkin menteri nak menguruskan nak menjalankan tanggungjawab beliau kalau beliau telah dihadapkan dengan satu tuduhan yang begitu berat sekali,” tegas Annuar. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.