PH Diminta Bersikaplah Sebagai Kerajaan, Bukan ‘Blame Game’

KUALA LUMPUR, 9 Ogos – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membidas kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang yang terus memainkan peranan sebagai ‘blame game’ sedangkan tanggungjawab sebagai kerajaan lebih besar.

Beliau berkata demikian sebagai maklumbalas kepada dakwaan Menteri Kewangan Lim Guan Eng bahawa kerajaan sebelum ini ‘merompak’ RM18 bilion wang tuntutan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

“Jalan terbaik ialah menyelesaikan dan bukan memainkan peranan sebagai ‘blame game’. Jika itu merupakan satu pendekatan baru yang akan diambil melalui pengenalan dan pelaksanaan SST maka kerajaan yang sekarang ini harus mengambil pertanggungjawaban untuk menyelesaikan permasalahan itu.

“Bersikaplah sebagai kerajaan dan tidak bersikap sebagai pembangkang. Jadi mereka harus bertindak sebagai kerajaan untuk selesaikan masalah rakyat,” katanya kepada media di lobi Parlimen hari ini.

Ujarnya, jika itu permasalahan yang sedang dihadapi oleh peniaga-peniaga yang sepatutnya menuntut semula bayaran GST yang harus dibayar kepada peniaga-peniaga, maka kerajaan perlu menyelesaikannya.

“Saya tidak fikir ianya kehilangan kerana ianya masuk dalam akaun yang disatukan maka wang itu harus dilihat berada dalam kumpulan dana yang disatukan.

“Jika wang itu digunakan untuk tujuan-tujuan yang tidak mematuhi peraturan maka barulah itu satu kecurian tetapi jika wang itu dibelanjakan untuk pelbagai projek yang ditentukan melalui bajet maka peruntukan tambahan perlu dikemukakan di Dewan untuk kami perbahaskan.

“Jangan menuduh untuk memberikan persepsi semuanya kesalahan kerajaan yang lalu kerana kerajaan yang lalu didukung oleh pegawai-pegawai kerajaan terutamanya pegawai-pegawai Kementerian Kewangan, dan mereka harus berlaku adil kepada pegawai berkenaan yang menjalankan tugas mengikut ketaatan kepada ‘government of the day’.

Katanya, sikap sebagai kerajaan lebih penting daripada sikap ‘blame game’ seolah-olah mereka masih lagi sebagai pembangkang.

“Kalau mereka tidak boleh selesaikan masalah itu, serah pada kami sebagai kerajaan kerana kami akan cari jalan untuk selesaikan,” katanya lagi.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid meminta bekas Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak untuk tidak berasa hati dengan tindakan beberapa anggota parti itu yang semakin lantang bersuara, termasuk mengkritik Najib yang juga bekas Perdana Menteri.

Menurutnya, perbezaan pendapat antara anggota parti tidak harus didedahkan menerusi media terutama melalui surat terbuka seperti yang dilakukan sesetengah pemimpin parti itu.

“Pandangan saya lebih baik kita bekerja dan membetulkan keadaan daripada memberikan pandangan-pandangan yang akhirnya akan menggamit pelbagai interpretasi pro atau kontra terhadap pandangan yang dilontarkan oleh kita. Lebih baik kita bekerja daripada bercakap,” katanya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.