Promosi LGBT, Pemuda UMNO Desak Kerajaan PH Tangani Segera

ALOR SETAR, 7 Ogos – Pemuda UMNO mendesak Pakatan Harapan (PH) yang kini menjadi tonggak kepimpinan negara agar berntindak segera dengan menangani hal-hal yang mencabar kedaulatan Agama Islam khususnya mempromosikan Lesbian, Gay, Biseksual, Transgender (LGBT) secara terbuka.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah, Mohamad Fadzil Zolkifli berkata beberapa individu yang dilihat tekun dalam mempromosi dan memperjuangkan LGBT seperti Marina Tun Mahathir seolah-olah tidak lagi mengendahkan tatasusila agama dan budaya serta mengeluarkan beberapa kenyataan yang dilihat biadap terhadap kritikan dari meraka yang menentang LGBT.

“Perkara ini amatlah mendukacitakan kerana sikap kerajaan PH yang langsung tidak menunjukkan sensitiviti mereka terhadap orang Islam yang merupakan majoriti di negara ini malah Islam adalah agama rasmi Malaysia.

“Walaupun kita menghormati kebebasan serta hak semua rakyat dalam negara namun hukum tetap hukum yang tidak boleh disangkal dengan hanya menggunakan akal fikiran sahaja.

“Bukan hanya agama Islam sahaja yang menentang LGBT malah semua agama termasuk Kristian, Hindu dan Buddha juga menolak LGBT yang tersasar dari fitrah manusia dan hukum alam malah jika tidak dibendung segera ditakut akan menjalar ke dalam masyarakat dan membawa lebih kemudaratan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Senada dengan ini, Pemuda UMNO Bahagian Nibong Tebal, Mohd Norhiesam Ismail turut mendesak Kerajaan Negeri Pulau Pinang memberhentikan segera pameran yang mempromosikan LGBT di Festival George Town yang sedang bermula 4 Ogos sehingga 2 September ini di Dewan Sri Pinang, Georgetown.

“Perkara ini amatlah mendukacitakan kerana sikap Kerajaan Negeri yang langsung tidak menunjukkan sensitiviti mereka terhadap orang Islam yang merupakan majoriti di negara ini malah Islam adalah agama rasmi Malaysia.

“Seharusnya dalam bulan kemerdekaan ini diraikan dengan penuh rasa patriotik namun sayangnya di Pulau Pinang ia jauh menyimpang dari maksud sebenar kemerdekaan dan ini terbukti apabila mereka memilih pejuang dan aktivis LGBT sebagai ikon dalam program ini.”

Katanya, pemilihan Siti Kassim, Nisha Ayub dan Pang Khee Teik yang merupakan aktivis LGBT mempunyai maksud tersirat dan tersurat.

“Ketiga-tiga mereka ini dijadikan sebagai ikon dalam pameran tersebut malah di dalam biodata mereka secara terang-terangan menyatakan mereka ini adalah pejuang LGBT yang ditolak serta bercanggah dengan budaya dan agama di negara ini.

“Pameran sebegini akan meninggalkan kesan yang negatif kepada pengunjung khususnya kepada golongan remaja serta muda yang akan melihat LGBT sudah mula diiktiraf oleh negara kita.

“Kami melihat perkara ini seakan sengaja mahu mencetuskan provokasi dan mencabar institusi Islam sekaligus mencetus kemarahan orang Islam. Adakah Kerajaan Negeri Pulau Pinang sengaja mahu mencetus kekecohan antara agama di negara ini?”

Sehubungan itu, Pemuda UMNO turut mendesak agar Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang dan Majlis Agama Islam negeri Pulau Pinang campur tangan kerana melibatkan orang Islam yang jelas memperjuangkan budaya songsang yang diharamkan oleh Agama Islamtermasuklah meminta campurtangan Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) di dalam menangani isu LGBT ini.

“Janganlah kerana PH kini menjadi tonggak kepimpinan negara maka sudah ada yang berani mencabar kedaulatan agama Islam.” – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.