Perkara Asas Perlembagaan Persekutuan Perlu Dipertahan Tanpa Kompromi – Sultan Nazrin
IPOH, 6 Ogos – Sultan Perak Sultan Nazrin Shah hari ini bertitah agar perkara-perkara asasyang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan perlu terus dipertahan tanpa kompromi walau berlakuperubahan kerajaan.
Titah baginda antara perkara asas tersebut adalah yang menyentuh Raja-Raja Melayu, agama Islam, bahasa kebangsaan, kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera serta kepentingan sah kaum-kaum lain menurut Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.
“Perkara-perkara tersebut jangan sama sekali mahu disensasikan oleh mana-mana pihak. Jangan ada individu atau badan yang mahu menjadi jaguh, mengungkit dan menuntut perkara-perkara asas yang telahdipersetujui dan termaktub dalam Perlembagaan Negara.
“Perbuatan mahu merombak persetujuan dan kontrak sosial yang telah dipersetujui bersama semasamenggubal Perlembagaan Merdeka, akan hanya mengundang suasana tidak harmoni yang boleh menggugatkestabilan politik dan ketenteraman awam.
“Rakyat tidak harus dijadikan mangsa, bagaikan kancil terhimpit mati di tengah-tengah, apabila gajah samagajah memilih untuk terus bertarung,” titah baginda ketika merasmikan pembukaan Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14 Perak di sini, hari ini. Turut berangkat Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim.
Terdahulu, Sultan Nazrin berkenan memeriksa kawalan kehormatan utama terdiri daripada tiga pegawai dan 102 anggota lain-lain pangkat daripada Batalion Pertama Briged Utara, Pasukan Gerakan Am, Hulu Kinta.
Selain itu, baginda menitahkan kerajaan baharu yang dipilih semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) supaya memenuhi harapan serta amanah rakyat, selain melaksanakan tanggungjawab secaradedikasi, ikhlas, jujur dan berintegriti.
“PRU14 telah 88 hari berlalu. Semasa berkempen, pelbagai janji diumumkan. Majoriti pengundi berani mengambil risiko, melakukan anjakan minda untuk menukar kerajaan atas keyakinan akan berlaku perubahan yang membawa kebaikan kepada kehidupan rakyat dan kesejahteraan negara.
“Majoriti pengundi yang memilih untuk menukar kerajaan, mahukan sebuah kerajaan yang melaksanakantadbir urus yang baik,” titah Sultan Perak.
Dalam konteks Perak, baginda bertitah agar Pakatan Harapan yang mendapat mandat membentuk kerajaanagar tidak melakukan rasuah, salah guna kuasa, menggunakan jawatan untuk keuntungan peribadi dan keluarga, merosakkan khazanah negeri serta melakukan diskriminasi dan penganiayaan.
“Jawatan dan kuasa adalah amanah daripada Ilahi, dikurniakan oleh Allah kepada kalangan hambaNya sebagai ujian yang boleh ditarik balik pada bila-bila masa dan ketika,” titah baginda.
Sultan Nazrin bertitah kerajaan negeri telah menubuhkan Majlis Konsultasi Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Negeri bertujuan merangka perancangan-perancangan strategik untuk membangun serta memajukan sektor pelancongan secara lebih pesat.
“Meskipun data menunjukkan selama lima tahun berturut-turut Perak dikategorikan antara dua negeri yang menerima kedatangan pelancongan domestik paling ramai, usaha mempromosi produk pelancongan untuk membawa lebih ramai pelancong dari luar negara tetap akan diberi tumpuan,” titah baginda.
Baginda juga bertitah kerajaan negeri akan memberi fokus melaksanakan program dan projek serta terus meneroka sumber hasil baharu bagi menambah pendapatan tanpa menjejaskan kelestarian alam sekitar.
“Pada masa sama, kerajaan Beta akan turut memperinci belanja mengurus, merintis usaha berjimat cermat untuk meminimumkan perbelanjaan, di samping mengoptimumkan tahap produktiviti jentera pentadbiran,” titah Sultan Nazrin.
Mengenai sekolah tahfiz, baginda mahu perhatian diberi kepada aspek keselesaan prasarana, keselamatan struktur bangunan, pendawaian elektrik dan kalis api yang berpotensi menyebabkan kebakaran asrama, selain aspek kelayakan tenaga pengajar, integrasi dengan sistem pendidikan secara holistik.
“Harapan ibu bapa dan masa hadapan pelajar tidak boleh dikorbankan tanpa mekanisme kawalan yang berkesan untuk menentukan kualiti pengajaran,” titah baginda.