UMNO Johor Serah 26 Van Skuad Sayang Untuk Siasatan AMLA

JOHOR BAHRU, 3 Ogos – UMNO Johor sudah menyerahkan 26 van Skuad Sayang dipercayai bagi membantu siasatan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) 2001.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor Datuk Ir Hasni Mohammad yang dihubungi berkata van yang digunakan Wanita UMNO berkenaan diserahkan kepada polis secara berperingkat pada semalam dan hari ini selepas mendapat arahan mahkamah, semalam.

“Kita dimaklumkan supaya menyerahkan 26 van Skuad Sayang yang digunakan di semua 26 bahagian UMNO di negeri ini kepada pihak polis bagi siasatan di bawah AMLA dan kita telah memberi kerjasama sepenuhnya,” katanya.

Hasni yang juga Anggota Majlis Tertinggi UMNO dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut itu berharap tindakan tersebut bukan bermotifkan dendam.

Pada masa sama, beliau menyeru pergerakan sayap wanita di negeri ini akan terus bekerja sekali gus tidak patah semangat di atas perkara yang terjadi.

Semalam, gambar kesemua van berkenaan tersebar di laman sosial dan difahamkan, kesemua kenderaan berkenaan kini ditempatkan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.