Pemuda UMNO Sabah Perkenal Program Halaqah Ilmu

KOTA KINABALU, 3 Ogos – Pergerakan Pemuda UMNO Sabah memperkenal Halaqah Ilmu Pemuda sebagai program baharu yang akan menjadi medan mengukuhkan lagi ukhwah selain bertukar pandangan antara pemimpin pergerakan itu dengan anak-anak muda di seluruh negeri.

Ketuanya Ir Abdul Aziz Julkarnain berkata program berkenaan akan menjelajah ke setiap bahagian dan zon UMNO Sabah bagi bertemu dan berkumpul bersama anak-anak muda di peringkat akar umbi secara lebih dekat disamping memahami isu setempat dan budaya.

“Setakat ini, Pemuda UMNO Sabah telah melaksanakan program ini di empat bahagian iaitu Kudat; Kota Marudu; Pensiangan; serta Keningau dan kita akan bergerak (melaksanakan) program ini mengikut zon dan bahagian,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat kali pertama pergerakan itu bagi sesi 2018-2021 di sini, semalam.

Mengenai had umur keanggotaan UMNO yang diturunkan dari 18 kepada 16 tahun seperti diumumkan Presiden parti Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Abdul Aziz berkata, Pemuda UMNO Sabah bersetuju dengan pengumuman itu dan berpendapat lingkungan umur berkenaan adalah sesuai bagi mempersiap-siagakan golongan tersebut sebelum menjadi pengundi.

Pada mesyuarat itu, Abdul Aziz berkata, Pemuda UMNO Sabah turut membuat pelantikan bagi beberapa jawatan selain melantik pengerusi dan timbalan pengerusi sekretariat bagi menyusun serta melaksanakan gerak kerja pergerakan itu.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.