Kaji Dan Terus Mengkaji….Itulah Kerajaan Pakatan Harapan Hari Ini


SHAH ALAM, 3 Ogos – Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin berkata kerajaan hari ini dilihat sebuah kerajaan akan kaji dan sentiasa mengkaji termasuklah alasan popular mereka yang sering menyalahkan kerajaan terdahulu.

Mengambil contoh jawapan menteri di parlimen, Khairy berkata pelbagai soalan yang dibangkitkan mengenai segala janji yang dilontarkan sebelum Pilihan Raya Umum yang lalu, jawapan menteri akhirnya berkisar ke arah itu.

“Saya bertanya kepada menteri berkaitan PTPTN… berapa ramai peminjam PTPTN yang masih belum cecah gaji RM4 ribu sebulan… macam mana nak laksanakan janji sebelum ini dan berapa kos kepada kerajaan sekiranya mahu melaksanakan janji tersebut.

“Jawapan yang diberikan oleh pihak kerajaan akan kita kaji berterusan. Saya kata ini adalah janji 100 hari…tinggal sebulan nak kaji apa…sebelum pilihan raya senang berjanji dan selepas pilihan raya baru nak kaji,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berceramah di pentas Ceramah Rakyat Janji Manismu, Taman Sri Andalas, di sini malam tadi.

Khairy seterusnya menegaskan soal pemberian royalti minyak sepertimana yang terkandung di dalam janji mereka juga masih dalam kajian.

“Apabila ahli parlimen Sabah dan Sarawak bangun bertanya di Parlimen kepada pihak kerajaan berkenaan royalti akan diberikan kepada negeri seperti Sabah, Sarawak, Kelantan serta Terengganu, jawapannya juga masih sedang dikaji.

“Ini kerajaan kaji semula…ini kerajaan sentiasa kaji…jadi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis ini kita kaji semula sokongan rakyat kepada kerajaan hari ini,” katanya.

Meneruskan ucapannya Khairy seterusnya berkata sebulan lagi akan diperkenalkan semula SST.

“Saya percaya setelah diperkenalkan nanti harga barang akan naik semula. Saya berbahas dengan Lim Guan Eng, Menteri Kewangan sebab saya tidak berpuas hati kerana mahu memperkenalkan SST.

“Kalau dahulu mungkin GST kita letakkan pada kadar yang terlalu tinggi. Saya katakan pada Guan Eng kenapa tidak kerajaan hari ini kekalkan GST dan letak pada kadar tiga atau empat peratus sahaja.

“Kerajaan hari ini sebelum pilihan raya umum kata GST zalim…cekik rakyat…cakap GST ini menderitakan rakyat…tengok video tuan-tuan…Guan Eng mengakui GST yang diperkenalkan oleh Datuk Seri Najib merupakan satu sistem yang lebih telus, satu sistem yang lebih cekap daripada SST.

“Dia tahu sebab apabila jadi kerajaan pegawai-pegawai dah beri taklimat. Kalau SST syarikat-syarikat akan elak bayar cukai…kalau SST syarikat-syarikat akan sorok keuntungan mereka dan tak payah bayar cukai. GST lebih baik dan beliau terpaksa mengaku kepada saya…kita akan melaksanakan sistem yang tidak sehebat GST sebab itu janji pilihan raya,” katanya.

Katanya lagi janji berkenaan boleh pula dilaksanakan namun janji berkenaan PTPTN tidak boleh pula dilaksanakan. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.