Tujuh NGO Desak Kula Segaran Hindari Isu Sensitif, Tumpu Selesaikan Isu TVET Yang Kritikal

KUALA LUMPUR, 2 Ogos – Gabungan tujuh Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) hari ini mendesak Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran supaya menghindari isu-isu sensitif dan kontroversi dan menumpukan perhatian beliau menyelesaikan isu TVET yang dikatakan semakin kritikal dengan melibatkan agensi-agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia.

Seterusnya, jelas Gabungan NGO itu, Kula Segaran sepatutnya menumpukan perhatian beliau untuk menyelesaikan isu-isu yang semakin meruncing antaranya isu dana Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) yang semakin mengecil.

“Kami minta agar Menteri Sumber Manusia tidak melibatkan diri dalam isu-isu sensitif seperti kenyataannya sebelum ini dan memberikan tumpuan serta fokus dalam menyelesaikan masalah-masalah utama yang melibat TVET seperti isu pinjaman bagi pelatih sesi ketiga 2018 PTPK yang masih belum dapat di selesaikan sehingga ke hari ini.

“Disebabkan masalah ini, buat pertama kalinya ramai pelatih kemahiran yang terdiri daripada belia lepasan sekolah kini gagal mengikuti latihan di Institut Latihan Kemahiran Swasta (ILKS). Justeru kita mendesak agar kementerian bertindak dengan memberikan dana PTPK sebanyak RM500 juta setahun, berbanding jumlah dana yang kini hanya berjumlah RM125 juta setahun saja.

“Kita juga meminta agar Menteri Sumber Manusia mencari jalan penyelesaian berhubung sebanyak 600 ILKS yang kini berdepan dengan risiko gulung tikar di mana pemberhentian kerja secara berperingkat sudah dimulakan sejak dari tahun 2017 lagi,” jelas Nordin Malek, Pengerusi Institut Kemahiran Latihan Bumputera Malaysia mewakil gabungan NGO tersebut.

Tujuh gabungan NGO tersebut ialah, Institut Latihan Kemahiran Swasta Bumputera (ILKS), Gabungan ILKAS India Malaysia (GAPKIM), Persekutuan Pusat-Pusat Bertauliah JKP Swasta Malaysia (FEMAC), Majlis Belia Malaysia (MBM), Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Belia Berkemahiran (PKPB), TVET Graduates And Alumni Society Malaysia (TEGAS) dan Gabungan Pusat Bertauliah Kemahiran.

Justeru, gabungan NGO tersebut mengesyorkan kepada Kula Segaran agar mengadakan mesyuarat rasmi dalam masa yang terdekat bagi membolehkan gabungan NGO tersebut mengemukakan syor-syor bagi penambaikan pelaksanaan TVET pada masa akan datang.

“Kita mahu Menteri Sumber Manusia mendengar dan memperbetulkan semula kelemahan-kelemahan TVET di peringkat KSM yang semakin kronik seperti isu PTPK, PVMA, sekolah harian dan lain-lain isu lagi.

“Kami mendesak agar Kementerian dapat berbincang dalam soal untuk melaksanakan konsep kerjasama awam dan swasta secara serius dengan menjadikan ILKS sebagai rakan strategik yang memberi impak yang cekap, cepat, jimat dan berkesan.

“Dalam situasi ekonomi sekarang, kami bergharap agar Kula Segaran dan semua yang terlibat dalam TVET supaya menumpukan usaha untuk mempercepatkan proses pelaksanaan TVET. Ini agar ia tidak menjejaskan keperluan ekonomi berasaskan tenaga kerja mahir dan menghancurkan masa depan negara di atas kelemahan berisan kabinet menteri kerajaan itu sendiri,” tegasnya lagi.-MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.