Kini PH Baru Tahu Betapa Sukar Tunai Janji Bulan Bintang Untuk Hapuskan PTPTN


KUALA LUMPUR, 1 Ogos – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, polisi dan dasar Barisan Nasional (BN) ketika mengendalikan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebenarnya mengambil kira semua kelompok peminjam baik yang sedang belajar, yang akan belajar malah turut memikirkan bagaimana mahu membantu pelajar di luar negara yang mengharapkan pinjaman ini.

Jelas beliau, ini berbeza dengan langkah-langkah yang dibuat oleh kerajaan baru pimpinan Pakatan Harapan (PH) yang dilihat hanya mengambil langkah populis dalam memberikan keuntungan jangka pendek sahaja dan hanya memberi keuntungan kepada mereka yang sudah menerima pinjaman.

“Kita lihat langkah memutihkan mereka (peminjam PTPTN yang gagal membayar balik) dari dikenakan sekatan imigresen dan juga mereka yang tangga gaji RM4 ribu baru mula membayar balik pinjaman, memang mudah dilakukan tetapi implikasi dari tindakan ini amat besar.

“Kedua-dua ini hanya memberi keuntungan kepada mereka yang telah mendapat pinjaman dan sekarang ini mereka mungkin sudah bekerja malah mungkin menjawat jawatan yang tinggi.

“Sebenarnya langkah kerajaan PH melepaskan sekatan imigresen dari satu sudut memang baik tetapi ini akan menyebabkan penurunan bayaran balik dan jejaskan pusingan kewangan PTPTN manakala jika bergaji RM4 ribu baru bayar balik, bayangkan kalau bekerja, ada yang dalam tempoh 10 tahun baru cecah tangga gaji tersebut. Bagaimana dengan ‘interest bank’ dan perkara lain, siapa yang harus tanggung?,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Tambah Dr Shamsul yang juga merupakan bekas Pengerusi PTPTN, perbadanan itu pernah mengalami penurunan bayaran balik semasa pentadbiran BN dahulu hanya kerana para peminjam terpengaruh dengan cadangan Ketua Pembangkang ketika itu iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim dan YB Rafizi yang mahu memansuhkan PTPTN sekiranya pembangkang memenangi PRU-13.

“Anwar dan Rafizi ketika itu berkempen mahu menghapus dan menutup PTPTN sekiranya mereka menang dalam pilihan raya dan ini menyebabkan ramai peminjam terpengaruh maka yang menerima kesan adalah kita.

“Jumlah kutipan menurun kepada sekitar RM50 juta sebulan sedangkan jumlah minimum yang diperlukan setahun ketika itu tidak kurang daripada RM900 juta dan ini tidak termasuk kos membayar keperluan lain.

“Akibat daripada itu PTPTN tidak boleh memberi pinjaman penuh kepada pelajar baru yang ingin menyambung pelajaran ke institut pengajian tinggi dan kita terpaksa mengurangkan jumlah pinjaman pelajar yang dibiayai,” jelas beliau.

Justeru, kini setelah menjadi kerajaan, PH harus berhadapan untuk melunaskan segala janji” bulan bintang yang mereka taburkan”.

“Kini saya percaya, mereka baru tahu akibat daripada menjanjikan perkara yang sukar. Kerana sedar janji-janji itu sukar ditunaikan. Akibat itu kita dapat lihat dengan jelas, alasan demi alasan diberikan semata-mata mahu mengelak daripada didesak untuk menyatakan dengan jelas bila mahu menunaikan janji, itu” ulas Dr Shamsul Anuar lagi. – MediaUMNO

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.