Kerajaan PH Perlu Tegas Tangani UEC, Iktiraf Sistem Pendidikan Negara – Khaled


KUALA LUMPUR, 1 Ogos – UMNO sangat berharap yang Kerajaan Pakatan Harapan (PH) bertegas dalam isu pengiktirafan Unified Examinations Certificate (UEC) dan berusaha mengambil jalan terbaik bagi memastikan sistem pendidikan negara diiktiraf dan diyakini oleh semua pihak, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Katanya, mencari alternatif luar yang tidak selari dengan aspirasi tempatan bukanlah satu jalan yang baik dan mampu menyelesaikan kekurangan yang ada.

Jelas beliau UEC adalah sijil Sekolah Swasta Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) yang dikelolakan Dong Zong dan Jiao Zong dan ia merupakan satu sijil peperiksaan yang tidak menggunakan sukatan pelajaran dari negara ini serta bukan sebahagian entiti daripada sistem pendidikan Malaysia yang diiktiraf.

Susulan itu tegasnya, sebarang cubaan untuk mengiktiraf sistem dan sukatan peperiksaan ini sering menimbulkan kontroversi yang berulang-ulang.

“Tidak hairanlah tindakan Kerajaan PH yang memutuskan untuk mengiktiraf sijil peperiksaan ini telah menimbulkan penentangan serta pertikaian yang besar di kalangan masyarakat Malaysia, termasuklah dari golongan pakar pendidikan, tokoh masyarakat hatta sebahagian daripada ibu bapa serta masyarakat Cina tempatan sendiri,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Jelasnya, bagi sesetengah pihak, desakan untuk Kerajaan menerima dan mengiktiraf UEC yang diimport masuk dari Taiwan ini tidak lebih dari sekadar lanjutan kepada usaha untuk beralih keluar secara perlahan-lahan dari sistem pendidikan sedia ada yang lebih bersepadu dan seragam.

“Sebaliknya, kita semua rakyat Malaysia, yang mengaku negara ini sebagai tanah air tempat tumpah darah kita, mesti bekerjasama memperbaiki sistem pendidikan kita. Apa yang kurang dan lemah, harus kita sama-sama perbaiki dan perkukuhkan.

“Saya berpendirian bahawa usaha sedemikian adalah tidak wajar dan amat bercanggah dengan aspirasi pendidikan negara.”

Dalam hal ini, beliau menzahirkan sembilan alasan kukuh untuk mewajarkan penolakan kepada desakan dan tuntutan mengiktiraf UEC iaitu:

a. Pertama, ia menggunakan sepenuhnya sukatan dan pengisian yang dicedok dari negara luar (Taiwan), tanpa saringan, kawalan dan pemantauan piawai oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Malah, pakar pendidikan dan pihak Kerajaan Malaysia tidak langsung terlibat atau dirujuk dalam penyediaan sukatannya.

b. Kedua, kandungan, sukatan serta objektif yang disasarkan dalam kandungan sistem peperiksaan ini bukanlah berasaskan Falsafah Pendidikan Negara yang kita guna pakai selama ini.

c. Ketiga, ia akan menyebabkan wujudnya sistem yang terpisah-pisah dan saling berbeza antara satu sama lain. Perkara ini menyebabkan sistem pendidikan negara tidak dapat diseragam dan disepadukan dengan baik.

d. Keempat, ia secara langsung dan jelas memberi mesej moral bahawa sistem pendidikan negara adalah amat teruk, tidak baik dan gagal.

e. Kelima, ia akan terus menjadi salah satu punca yang akan menggagalkan usaha berterusan Kerajaan untuk menyuburkan perpaduan dan rasa kebersamaan rakyat Malaysia.

f. Keenam, ia secara tidak langsung merendah-rendahkan bahasa kebangsaan Malaysia. Pendidikan yang disampaikan menggunakan bahasa pengantar selain Bahasa Kebangsaan sudah pastilah akan dilihat sebagai tidak mengangkat keluhuran perlembagaan.

g. Ketujuh, ia membuka ruang dan jalan yang menyebabkan isu pendidikan dipolitikkan.

h. Kelapan, sekalipun tanpa UEC, sistem pendidikan tempatan telah dan sentiasa mengiktiraf kepentingan bahasa Mandarin di sekolah-sekolah aliran Cina tempatan yang berada di bawah sistem pendidikan negara; dan

i. Kesembilan, adalah lebih baik untuk Kerajaan, khususnya Kementerian Pelajaran mengambil usaha memperkukuh dan memperkemaskan sistem pendidikan sekolah Cina tempatan, berbanding mengambil sistem luar yang sentiasa menimbulkan kontroversi. – MediaUMNO

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.