Tun M Pengerusi Khazanah, Bukti Menteri Kewangan Hanya Layak Jaga Buku Kira-Kira

KUALA LUMPUR, 31 Julai – Timbalan Presiden MCA Wee Ka Siong berkata, pelantikan Perdana Menteri sebagai Pengerusi Khazanah Nasional membuktikan bahawa Menteri Kewangan Lim Guan Eng hanya layak menjadi penjaga buku kura-kira.

Ini kerana jelas beliau, Khazanah dimiliki sepenuhnya Kementerian Kewangan, sebuah badan yang diperbadankan menurut Akta Menteri Kewangan (Pemerbadanan) 1957 dan sepatutnya Menteri Kewangan dilantik sebagai salah seorang ahli lembaga pengarah.

“Sepatutnya, jika mahu melantik ahli politik ke lembaga pengarah Khazanah, Menteri Kewanganlah individu paling layak kerana Khazanah dimilik sepenuhnya oleh Kementeri Kewangan kerana ia (Pemerbadanan) 1957.

“Jadi, adakah Menteri Kewangan hanya layak jadi penjaga buku kira-kira dan menjaga tabung harapan tetapi tidak cukup layak untuk menjawat jawatan sebagai ahli lembaga pengarah,” ujar beliau dalam posting di laman sosial facebook beliau.

Selain itu, beliau turut membidas pelantikan Perdana Menteri sebagai Pengerusi Khazanah kerana ia ternyata memungkiri janji yang telah dibuat oleh PH dalam manifesto mereka.

“PH telah berjanji pada PRU-14 untuk mengurangkan kuasa Perdana Menteri dan tidak ada sebarang lantikan politik dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tapi apa yang terjadi dalam lantikan ahli lembaga pengarah Khazanah ternyata berlainan dengan apa yang telah dijanjikan,” katanya lagi.

Untuk rekod, janji ke-22 manifesto PH menyatakan antara lain: ‘Kerajaan Pakatan Harapan akan memastikan pelantikan anggota lembaga GLC negeri dan negara akan dibuat berdasarkan merit dan profesionalisme, bukan berdasarkan politik.’ – MediaUMNO

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.