Trend Pengguguran Kes Mahkamah Libatkan Pemimpin PH Amat Membimbangkan


KUALA LUMPUR, 31 Julai – Ketua WHIP Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Azalina Othman Said melahirkan kebimbangan terhadap trend pengguguran kes-kes mahkamah yang melibatkan pemimpin Pakatan Harapan (PH) sejak kebelakangan ini.

Jelas beliau, apa yang lebih membimbangkan adalah  apabila kes-kes tersebut melibatkan kes jenayah seperti kes hasutan, pecah amanah, pembocoran maklumat dan lain-lain.

“Semua pihak menghormati akan kedudukan dan kuasa seseorang Peguam Negara untuk berperanan secara adil dan saksama seperti mana yang termaktub di bawah Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan malah di bawah Perkara 145(3) turut menegaskan bahawa kuasa budi bicara Peguam Negara adalah mutlak dan tidak boleh dicabar di mana-mana Mahkamah.

“Namun, trend pengguguran kes-kes mahkamah yang melibatkan pemimpin PH ini perlu penjelasan yang kukuh kerana dibimbangi akan memberi persepsi negatif terhadap amalan doktrin pengasingan kuasa di Malaysia.

“Badan Kehakiman perlu kekal bebas daripada mana-mana campurtangan termasuk dari badan Eksekutif mahupun Legislatif.

“Justeru itu, Kerajaan PH perlu lebih berhati-hati dalam setiap tindakan yang diambil agar tidak mewujudkan persepsi yang salah terhadap badan kehakiman dan perundangan di negara ini,” ujar beliau dalam satu kenyataan media.

Tambah Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang, semua pihak seharusnya berpegang dengan prinsip ‘rule of law’ supaya prestij badan Kehakiman Negara terus dihormati. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.