Tindakan Kerajaan Timbulkan Ketidaktentuan Dalam Pasaran Punca Pelabur Kurang Yakin


SHAH ALAM, 31 Julai – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mustapha Mohamed berkata, trend penurunan bursa saham secara berterus akan memberikan kesan kepada dividen pemegang saham ASBSN, Tabung Haji, KWSP kerana sebahagian besar pelaburan mereka adalah di bursa saham tempatan.

Jadi kata beliau, sekiranya harga saham terus turun, maka ia pastinya akan menjejaskan dividen pemegang-pemegang saham syarikat tersebut.

“Secara umumnya, apa yang boleh kita jangkakan pada tahun ini sekiranya keadaan penurunan harga saham ini berterusan, ia akan memberikan kesan kepada pelabur-pelabur Tabung Haji, ASB, ASN, KWSP dan lain-lain akan berkurangan dividennya.

“Kita berharap agar pasaran bursa saham kembali stabil kerana ia akan memberikan kesan kepada berjuta rakyat Malaysia yang melabur di dalam ASB, ASN, Tabung Haji dan lain-lain kerana sudah pasti dividen akan terjejas dan berkurangan,”ujarnya.

Jelas beliau, ada tiga perkara utama yang mampu mendatangkan keyakinan kepada pelabur untuk melabur di sesebuah negara itu.

“Pertamanya, kerajaan yang mesra pelabur. Keduanya, pelabur mahu dasar-dasar ekonomi yang jelas dan yang ketiganya ialah konsisten, iaitu tidak ada flip-flop dalam membuat keputusan. Malangnya, ketiga-tiga perkara itu masih tidak jelas terutama berhubung dasar dan juga konsistensi kerajaan dalam meneruskan sesuatu projek itu.

“Memang kita sudah menjangka akan berlakunya keadaan ekonomi yang tidak menentu dalam peralihan kerajaan, apatah lagi jika ia pertama kali berlaku di dalam sejarah seperti di Malaysia ini.

“Tetapi keadaan tidak menentu itu sudah pun berlanjutan selama tiga bulan dan ia sebenarnya satu jangkamasa yang lama yang menyebabkan ramai pelabur yang menarik ‘hand brake’ untuk melabur.

“Dan setakat ini, kita masih lagi tidak dapat melihat dasar ekonomi yang jelas daripada kerajaan baru hari ini dan sudah tentu perkara ini akan menjejaskan keyakinan pelabur terhadap negara ini,” ujarnya.

Bagi Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya pula, Tun Faisal Ismail berkata, keadaan ekonomi negara akan bertambah teruk jika Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara sebenarnya sudah dijangkakan lebih awal apabila pakar-pakar ekonomi ada mengeluarkan kenyataan yang negatif berhubung manifesto yang dibentangkan oleh PH sebelum ini.

Ramai pakar-pakar ekonomi dari dalam serta luar negara telah menjangkakan, bahawa ekonomi negara akan menjadi bertambah teruk berbanding sebelum ini sekiranya manifesto PH ini dilaksanakan apabila mereka menjadi kerajaan.

“Ada pakar ekonomi meramalkan bahawa negara akan defisit sebanyak 460 bilion dan ramalan ini dibuat sebelum PRU ke 14 lagi. Bahkan menurut mereka, dasar-dasar ekonomi yang dibawa oleh PH itu tidak menarik pelabur antarabangsa.

“Masalahnya apabila mereka menjadi kerajaan, tindakan-tindakan mereka yang masih bermentaliti pembangkang ini, menyebabkan keadaan negara menjadi lebih teruk. Contohnya, apabila mereka melaksanakan sifar GST, maka pelabur-pelabur sudah melihat bahawa pendapat negara akan berkurangan berbilion. GST mengutip cukai sebanyak 40 bilion setahun dan setakat sejak GST disifarkan hari ini, maka negara sudah hilang berbilion ringgit.

“Macam kita jugalah, apabila kita ni bulan-bulan ada gaji, maka kalau nak buat pinjaman bank, pihak bank akan yakinlah bahawa kita akan mampu membayarnya kerana kita ada gaji. Tetapi apabila kita dua tiga bulan tidak ada gaji, sudah tentu keyakinan pihak bank, malah anak isteri pun akan kurang keyakinan kepada kita.

“Selepas itu, kerajaan pula membuat tindakan yang boleh menyebabkan ketidaktentuan di dalam pasaran, sebagai contoh kenyataan kita akan kaji projek ini, projek ini kita nak batalkan dan sebagainya. Apa yang mereka lakukan itu sebenarnya memberikan impak keyakinan pelabur luar terhadap negara kita,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel program diskusi N49 yang diadakan secara langsung melalui laman facebook rasmi UMNO Online, malam tadi. –MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.