Ke Mana Hala Tuju Malaysia Di Bawah Kerajaan Pakatan Harapan Sebenarnya?

KUALA LUMPUR, 30 Julai – Ke mana haluan Malaysia di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebenarnya?, soal Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Katanya, kerajaan masih berdiam diri mengenai laporan hasil kajian Japan’s Institute of Developing Economies (IDE) bahawa Malaysia akan memperolehi perolehan tahunan sebanyak RM6.5 bilion daripada projek keretapi laju Kuala Lumpur-Singapura.

Menurut laporan itu, katanya, tiga ekonomi terbesar yang bakal mendapat manfaat daripada projek itu pada tahun 2030 ialah Johor (RM2.82 bilion), Kuala Lumpur (RM1.72 billion) and Selangor (RM1.15 billion).

“Kami juga tidak mahu membangkitkan hal betapa Kabinet ini ditadbir secara ‘remote control’ oleh seorang.

“Namun sangat jelas bahawa Kerajaan PH setakat ini nampak tidak berkeupayaan menyelesai masalah atau memberi penjelasan jelas mengenai pelbagai isu yang berlegar di kalangan rakyat pada hari ini.

“Kebimbangannya ialah semua ini memberikan kesan secara langsung pada ekonomi negara yang akhirnya menjejaskan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Begitu juga katanya berkaitan sikap membisu kerajaan terhadap merosotnya rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia kepada US$104.7 billion, berbanding US$110 bilion sebelum PRU14, iaitu penyusutan sebanyak US$5.3 bilion atau RM20.12 bilion.

“Kerajaan juga senyap dengan laporan yang menyebut pemansuhan tol, seperti yang terkandung di dalam manifesto 100 Hari PH pada PRU14, akan mengambil masa yang agak lama untuk dilaksanakan.

“Mengenai isu tol, saya berpendapat pemansuhan ini tidak akan dibuat sampai bila-bila kerana pembinaan dan senggaraan hampir semua lebuh raya bertol adalah milik konsesi firma swasta yang membinanya.

“Dengan beberapa projek lebuhraya bertol masih berjalan, satu-satunya cara ialah bagi Putrajaya menyediakan berbilion ringgit bagi membayar balik kos pembinaannya, yang tidak akan dibuat, malah belum ada mana-mana kerajaan pun sanggup berbuat demikian.

Tegasnya yang juga Ahli Parlimen Lenggong, kerajaan juga gagal memberi penjelasan bertulis kenapa pemansuhan tol dan HSR diputuskan.

“Ia perlu dibuat secara ‘mathematical logic’ bagi menerangkan kepada rakyat kenapa ia boleh atau tidak boleh dilakukan.

“Kabinet juga masih berdiam diri mengenai kenyataan Menteri Pertanian bahawa daging bukanlah barangan kawalan menjelang Hari Raya Korban 22 Ogos ini, serta kenaikan harga barangan keperluan.

“Menterinya cuma berkata kenaikan itu, di bawah sifar GST, akan dikaji terlebih dahulu.”

Soalnya, tidakkah kementerian mempunyai mekanisme untuk memantau harga barang di seluruh negara, serta memiliki agensi penguatkuasa yang cekap?

“Kerajaan masih belum berbuat apa-apa, termasuk mengumumkan pakej rangsangan ekonomi yang mampu meningkat keyakinan pelaburan tempatan dan asing.

“Sebaliknya pemimpin masih tetap sibuk dengan tekanan terhadap mantan perdana menteri, surat CIA dan ‘witch-hunting’ yang tiada kesudahannya.

“Pemimpin utama kerajaan pula cuba untuk tidak mengulas laporan mengenai HSR dan tol, sebaliknya cuba mengalihkan perhatian kononnya beliau mewarisi ‘kerajaan yang korup’ serta misinya untuk memohon pinjaman yen bagi ‘membayar hutang negara’.”

Ujarnya, ada menteri pula terjebak dengan ‘flip-flop’nya mengenai isu tukang masak asing, serta tewas kepada tekanan pengambilan pekerja asing yang kini dibolehkan sebagai ‘guest workers’.

“Pembangkang juga berharap agar sentimen ‘Melayu pendatang’ sepertimana laporan Utusan Melayu adalah tidak benar.

“Jadi, pembangkang tidak ingin menyoal manifesto parti kerajaan tetapi perlu mengingatkan kritikan akhbar China seperti China Daily Mail dan Global Times yang mempersendakan Putrajaya mengenai HSR dan ECRL,” bidasnya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.