Kerajaan PH Diminta Hentikan Segera Tindakan Pembersihan Tokoh Korporat


KUALA LUMPUR, 29 Julai – Siri perletakan jawatan dan penamatan kontrak pelbagai Ketua Pegawai Eksekutif dan Ahli Lembaga Pengarah Syarikat berkaitan Kerajaan (GLC) semenjak peralihan kuasa dari Kerajaan Barisan Nasional (BN) amat menggusarkan, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Katanya, ia kelihatan seolah-olah Pakatan Harapan (PH) mengambil pendekatan yang mirip diamalkan oleh bekas Presiden Amerika Syarikat, George W. Bush – ‘if you are not with us, you are against us’.

“Dalam konteks lain yang lebih ringkas, Kerajaan PH boleh dianggap mengamalkan pendekatan ‘a zero sum game’ – sebelah pihak menang semua dan sebelah lagi tewas sepenuhnya.

“Pendekatan seperti ini gagal mengharmonikan kelebihan dan kekuatan sedia ada yang sepatutnya digunakan sepenuhnya demi mendapat hasil dan manfaat untuk rakyat dan negara. Perkara ini sangat merugikan semua pihak,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Jelasnya, ia bercanggah dan mengkhianati aspirasi membangunkan tanah air ini bersama-sama, dengan memaksimumkan penggunaan bakat terbaik tanpa mengira kecenderungan politik.

“Saya berpendapat tindakan menyingkir dan memaksa perletakan jawatan pegawai tinggi GLC, sama ada secara langsung atau tidak langsung, adalah sangat bertentangan dengan semangat dan amalan politik baru yang seharusnya mengembleng semua potensi terbaik Malaysia untuk membangunkan Malaysia Baharu.

“Lebih-lebih lagi semua jawatan tertinggi di GLC diisi oleh individu dan tokoh yang mempunyai pengalaman, kepakaran dan percapaian yang terbukti serta kepimpinan yang teruji.”

Malah, tegasnya, lebih merugikan, tindakan Kerajaan PH untuk menyingkir dan memaksa perletakan jawatan pegawai tinggi ini sangat bersalahan dengan aspirasi membangunkan keupayaan ekonomi bangsa Melayu dengan lebih strategik.

“Saya berpendirian bahawa, salah satu strategi untuk membangunkan kebolehsaingan ekonomi orang Melayu dan menjayakan ekonomi Malaysia yang inklusif ialah dengan mengangkat dan mengiktiraf pemimpin korporat serta pengurus ekonomi dan kewangan yang kompeten dan berwibawa.

“Tindakan menyingkir atau menyebabkan tersingkirnya, mana-mana bakat terbaik Melayu dari memimpin GLC atas alasan kecenderungan politik tanpa disandarkan kepada faktor kegagalan mengurus dan prestasi yang buruk, adalah satu penganiayaan dan amalan yang wajar dihentikan serta merta.”

Sehubungan itu beliau menyeru dan amat berharap agar Kerajaan PH menghentikan segera tindakan pembersihan tokoh korporat atau ‘corporate figure cleansing’ ini. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.